Tak adil PH menang kuasa dengan tipu rakyat, kata Najib

Tak adil PH menang kuasa dengan tipu rakyat, kata Najib

Bekas perdana menteri itu berkata, pengundi tidak patut menerima alasan direka Pakatan Harapan dan perlu mendesak gabungan itu menunaikan janji mereka.

Free Malaysia Today
Najib Razak berkata, Barisan Nasional terlalu berhati-hati dalam menyediakan manifestonya.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau dan pembangkang akan terus bersuara serta menuntut Pakatan Harapan (PH) melaksanakan manifesto pilihan raya mereka “kerana janji tetap adalah janji”.

“Ia tidak betul dan tidak adil apabila parti politik boleh memenangi kuasa hanya dengan menipu rakyat.

“Rakyat tidak patut ditipu dan menerima apa sahaja alasan direka kerajaan PH bagi 5 tahun akan datang,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan PH menamakan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

PH melalui manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu berjanji akan melantik speaker daripada kalangan ahli Parlimennya.

Pengerusi PH itu berkata, manifesto bukannya kitab suci yang boleh dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya ingatkan manifesto bukan Bible, ia hanyalah panduan.

“Kadang-kadang kita boleh melakukan sesuatu, kadangkala kita dapati ia tidak boleh dilakukan. Jadi, kita perlu praktikal, tetapi orang ramai suka seseorang yang tiada kaitan dengan parti,” katanya di lobi Parlimen.

Najib berkata, Barisan Nasional merangka manifesto untuk PRU14 dengan berhati-hati dan menjalankan kajian beberapa kali kerana beliau mahu menunaikan setiap janji kepada rakyat.

“Mungkin kami terlalu berhati-hati untuk hanya berjanji apa yang mampu kami laksanakan? Adakah saya akan melakukan sebaliknya? Tidak.”

Lantikan speaker: Manifesto bukan kitab suci, hanya panduan, kata Dr M

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.