
Baginda juga berharap rakyat tidak dipengaruhi sentimen sempit, sebaliknya perlu berusaha membentuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa.
“Mencari titik persamaan, bukan perbezaan dengan bekerjasama untuk kesejahteraan rakyat survival negara. Beta berharap semua kejayaan, pencapaian dan pengiktirafan dalam pelbagai bidang yang dicapai sebelum ini dapat dipertingkatkan,” katanya ketika berucap merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal pertama Parlimen Ke-14, hari ini.
Agong turut menggesa kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memperbaiki taraf hidup rakyat miskin dan terpinggir.
“Pembelaan terhadap ekonomi rakyat yang terpinggir tidak harus dilihat sebagai diskriminasi perkauman, tetapi usaha menebus ketidakadilan sosial yang diwarisi sekian lama.”
Terdahulu, Sultan Muhammad V tiba di Parlimen pada 10 pagi tadi dan disambut Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.