
Maszlee Malik berkata tujuan utama lantikan itu bagi mengelakkan bidang TVET sering dikaitkan dengan kaum lelaki yang menceburi bidang 3D (Kotor, Bahaya dan Susah).
“Pelantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar sebagai pengerusi jawatankuasa TVET ini adalah inisiatif kementerian untuk memecahkan stigma bahawa TVET hanya dipelopori oleh kaum lelaki sahaja, lantas berupaya meningkatkan minat wanita untuk menceburi bidang TVET,” katanya menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Seri Ismail Muttalib (BN-Maran).
Ismail meminta kerajaan menyatakan keperluan pelantikan Nurul Izzah dan apakan peranan serta sumbangan yang dapat diberikan ahli parlimen Permatang Pauh itu.
Menurut Maszlee, Nurul Izzah merupakan orang muda yang dinamik dan berkeupayaan untuk mengetuai kumpulan pakar.
“Sebagai orang muda beliau mempunyai misi yang dinamik yang diperlukan kementerian dalam memacu hala tuju TVET negara di mana sasaran adalah orang muda,” jawabnya.
Pada 21 Jun lalu, Maszlee mengumumkan penubuhan Jawatankuasa TVET dipengerusikan oleh Nurul Izzah yang berperanan menyediakan laporan untuk memperkasa dan menaikkan taraf TVET.
NUTP tidak yakin Nurul Izzah mampu ketuai Jawatankuasa TVET, mahu TPM