Pemimpin Amanah yakin RUU pendanaan politik dibentang sebelum PRU16

Pemimpin Amanah yakin RUU pendanaan politik dibentang sebelum PRU16

Setiausaha Agung Amanah Muhammad Faiz Fadzil berkata langkah itu selaras komitmen perdana menteri terhadap reformasi institusi.

rasuah money
Jumaat lalu, IDEAS mempersoalkan mengapa kerajaan tidak merancang untuk memperkenalkan RUU pendanaan politik di bawah fasa kedua kerangka akauntabiliti Madani.
PETALING JAYA:
Pemimpin Amanah yakin rang undang-undang (RUU) pendanaan politik akan dibentangkan di Parlimen sebelum PRU16, meskipun kerajaan dikritik badan pemikir kerana belum merancang memperkenalkannya dalam fasa kedua kerangka akauntabiliti Madani.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, berkata keyakinan itu berasaskan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan reformasi institusi dalam pentadbiran negara.

“RUU ini antara agenda reformasi institusi Pakatan Harapan. Saya yakin perdana menteri akan membawanya ke Parlimen sebelum PRU kerana beliau sangat komited terhadap reformasi institusi.

“Mungkin sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dan agensi kerajaan berkaitan masih memerlukan sedikit masa sebelum RUU ini dimuktamadkan,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mempersoalkan mengapa kerajaan tidak merancang untuk memperkenalkan RUU pendanaan politik di bawah fasa kedua kerangka akauntabiliti Madani.

Fasa kedua kerangka itu yang meliputi tempoh Mei hingga Ogos, merangkumi cadangan RUU Ombudsman serta Akta Kebebasan Maklumat, selain pengukuhan perlindungan pemberi maklumat.

Tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata sukar untuk meluluskan RUU pendanaan politik sebelum PRU akan datang kerana maklum balas lanjut masih diperlukan.

Pada Januari, timbalannya, M Kulasegaran, berkata kerajaan sedang menunggu hasil kajian persepsi awam yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebelum memuktamadkan RUU itu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim meragui kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan RUU itu, sambil mendakwa komitmen Putrajaya terhadap ketelusan pentadbiran masih lemah.

“Sampai sekarang RUU pendanaan politik tidak dibentangkan di Parlimen.

“Cakap-cakap untuk memerangi rasuah, mencegah salah guna kuasa dan menegakkan tadbir urus yang baik saya lihat hanya cakap kosong,” kata wakil rakyat PKR itu.

Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad pula menggesa pandangan semua pihak perlu diambil untuk memastikan kelonggaran dan undang-undang itu tidak berat sebelah.

“Biar lambat asalkan adil dan inklusif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.