
Hakim Ahzal Fairuz Ahmad Khairuddin membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keterangan dan kredibiliti 15 daripada 25 saksi yang merupakan mangsa selain mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas L Ganis, 44.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdagangkan 15 individu termasuk 2 kanak-kanak berusia antara 13 tahun dan 66 tahun bagi maksud eksploitasi buruh paksa dengan ancaman dan kekerasan.
Ganis didakwa melakukan semua pertuduhan itu di Ladang Koperasi Kelapa Sawit Sdn Bhd Daerah Kecil Kroh, Belukar Semang, Kampung Tasek Pengkalan Hulu antara April 2016 hingga 26 Feb 2017.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda serta Seksyen 14 dan 13 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Ahzal Fairuz dalam penghakimannya pada akhir kes pendakwaan berkata semua 15 mangsa dalam keterangan masing-masing menyatakan mereka ditawarkan pekerjaan dan bukannya dipaksa bekerja di ladang tersebut.
Hakim juga berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan semua 15 mangsa dipukul oleh Ganis.
“Pendakwa hujahkan terdapat kekerasan terhadap mangsa. Dakwaan ini perlu disokong oleh bukti kukuh, tetapi pendakwa gagal buktikan kes tersebut,” katanya.
Selain itu, Ahzal Fairuz berkata pihak pendakwaan juga gagal memanggil 3 saksi penting kes tersebut.
Mengenai ketidakpuasan hati mangsa terhadap bayaran gaji, hakim berkata perkara itu tidak termasuk dalam Atipsom 2007, sebaliknya ia di bawah Akta Kerja 1955.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Hasyutantee Khalil, manakala tertuduh diwakili Ramzani Idris dan M Haresh.