Parlimen perlu bebas daripada cengkaman mana-mana pihak, kata Rais

Parlimen perlu bebas daripada cengkaman mana-mana pihak, kata Rais

Parlimen juga tidak boleh lagi dilabelkan sebagai alat mana-mana pihak untuk menghalalkan apa jua yang ingin dilakukan, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim.

Enam senator baharu yang mengangkat sumpah jawatan hari ini adalah (dari kiri) Ajis Sitin, Fadhlina Sidek, Juhanis Abd Aziz, Aziz Ariffin, Dr Wan Martina Wan Yusoff, dan Seruandi Saad. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Parlimen perlu bebas daripada cengkaman mana-mana pihak selari dengan transformasi sedang direncanakan, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim.

Beliau berkata, tumpuan agenda transformasi adalah kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 atau Akta 347 serta mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.

“Begitu jugalah halnya dalam soal kewangan dan pentadbiran kerana sudah tiba masanya Parlimen menentukan kaedah kewangan sendiri dan bagaimana ia hendak dibelanjakan juga adalah bidang kuasa sepenuhnya Parlimen,” katanya sempena majlis mengangkat sumpah jawatan enam Ahli Dewan Negara di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau menjelaskan Parlimen juga tidak boleh lagi dilabelkan sebagai alat mana-mana pihak untuk menghalalkan apa jua yang ingin dilakukan.

Justeru, katanya Dewan Negara dan Dewan Rakyat bersepakat untuk menambah baik struktur pentadbiran dan kerangka perundangan berkenaan dengan Parlimen agar konsep pengasingan kuasa benar-benar wujud sekali gus memastikan kewibawaannya dapat diperkasakan.

Rais menjelaskan Peraturan-Peraturan Mesyuarat juga akan ditambah baik meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli dan memperkuatkan jawatankuasa pilihan khas supaya mempunyai kuasa pelaksanaan.

Menurutnya, jika semua transformasi berkenaan dilunaskan, banyak hal dan muslihat yang tidak dapat dikawal akan dapat diatasi oleh Parlimen melalui kuasanya.

Terdahulu enam senator yang mengangkat sumpah untuk lantikan selama tiga tahun ialah Wan Martina Wan Yusoff, Ajis Sitin, Juhanis Abd Aziz, Aziz Ariffin, Seruandi Saad dan Fadhlina Sidek.

Wan Martina merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang berkuat kuasa mulai 24 Ogos lalu hingga 23 Ogos 2024 manakala Ajis dan Juhanis adalah pilihan DUN Pahang yang berkuat kuasa pada 25 Ogos lalu hingga 24 Ogos 2024.

Aziz dan Seruandi pula dipilih DUN Perlis yang berkuat kuasa 26 Ogos lalu hingga 25 Ogos 2024, sementara Fadhlina merupakan pilihan DUN Pulau Pinang yang berkuat kuasa pada 1 September lalu hingga 31 Ogos 2024.

Semua mereka mengangkat sumpah sebagai senator buat kali pertama pada majlis yang berlangsung dalam keadaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.