MoU permulaan hubungan dwipartisan kerajaan-pembangkang, kata IDEAS

MoU permulaan hubungan dwipartisan kerajaan-pembangkang, kata IDEAS

MoU itu juga membolehkan negara mengamalkan demokrasi berparlimen berorientasikan dasar lebih matang.

IDEAS menyambut positif Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU-TPS) yang ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan semalam.
PETALING JAYA:
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) akan menjadi permulaan kepada hubungan dwipartisan yang lebih sihat dalam politik Malaysia.

Dalam satu kenyataan IDEAS berkata, langkah itu juga membolehkan negara mengamalkan demokrasi berparlimen berorientasikan dasar yang lebih matang.

“IDEAS amat gembira akan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU-TPS) yang ditandatangani antara pihak kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

“IDEAS percaya bahawa MoU ini adalah satu langkah positif ke arah persaingan berteraskan dasar antara parti-parti politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, kerajaan persekutuan dan PH menandatangani MoU mengenai “kestabilan dan transformasi politik” yang merangkumi pembaharuan Parlimen dan transformasi kerajaan.

Dalam pada itu, IDEAS berharap kerajaan memberi peluang kepada pembangkang untuk menyumbang kepada isi kandungan Belanjawan 2022.

IDEAS berkata, tempoh perdana menteri memegang jawatan juga wajar dihadkan selama 10 tahun kerana memberi peluang kepada ahli politik muda untuk mendaki tangga kepimpinan dengan lebih pantas serta mengurangkan naungan berpandukan personaliti dalam parti politik yang memerintah.

Katanya, dari segi pembaharuan institusi, IDEAS menggesa untuk mempercepat pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik yang telah melalui banyak penangguhan.

“Satu lagi komitmen penting yang diperkenalkan semula ialah Akta Perkhidmatan Parlimen agar Parlimen mempunyai autonomi untuk menjalankan pentadbiran dan mengurus kewangannya.

“Akhir sekali, perwakilan setara antara Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen penting untuk memastikan semak dan imbang berkesan dalam membuat pertimbangan,” kataya.

Sementara itu, IDEAS juga bimbang jika hanya Ahli Parlimen yang terlibat dalam MoU ini sahaja yang akan diberikan peruntukan setara untuk peruntukan pembangunan kawasan (CDF).

Katanya, CDF perlu diberikan kepada semua Ahli Parlimen kerana mereka berkhidmat kepada rakyat Malaysia di kawasan masing-masing.

“Kerajaan dan pembangkang perlu bersedia mengetepikan perbezaan dan menumpukan kepada agenda pemulihan Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.