Benar rakyat Singapura lengkap vaksin melancong ke Malaysia, kata Ahli Parlimen

Benar rakyat Singapura lengkap vaksin melancong ke Malaysia, kata Ahli Parlimen

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata rakyat negara itu perlu diberi kebebasan yang sama sekiranya Malaysia bersedia membenarkan rentas negeri.

Kuarantin tidak boleh dilaksanakan dalam industri pelancongan kerana tiada siapa ingin melakukan perjalanan ke Malaysia sekiranya ia masih dikenakan, kata Dr Lee Boon Chye. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Malaysia harus membenarkan rakyat Singapura yang telah lengkap vaksin untuk masuk ke negara ini dan mengecualikan tempoh kuarantin sebaik pintu sempadan dibuka semula, kata bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Bercakap kepada FMT, Lee berkata, sekiranya Malaysia telah bersedia untuk membenarkan pergerakan rentas negeri sebaik mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa, rakyat negara itu juga perlu diberi kebebasan yang sama.

“Tidak ada bezanya antara seseorang dari Johor atau Singapura untuk melakukan perjalanan sekiranya rentas negeri telah dibenarkan. Bagaimanapun, kita masih perlu memantau situasi ini dengan rapi,” kata Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng.

Katanya, kuarantin juga tidak boleh dilaksanakan dalam industri pelancongan kerana tiada siapa ingin melakukan perjalanan ke Malaysia sekiranya ia masih dikenakan.

Dr Lee Boon Chye.

Bagaimanapun, peraturan khas boleh diguna pakai terhadap mereka yang masuk dari negara-negara yang membabitkan varian baharu Covid-19 dan mengenakan kuarantin antara tempoh seminggu hingga dua minggu.

Lee mencadangkan satu aplikasi telefon pintar yang baharu seperti MySejahtera boleh diperkenalkan untuk memantau pergerakan rakyat Singapura berkenaan.

“Ini perlu diselesaikan antara kerajaan Malaysia dan Singapura supaya rakyat Malaysia juga boleh memanfaatkan kemudahan sama untuk masuk ke sana. Satu mekanisme perlu diwujudkan bagi membolehkan setiap orang daftar masuk di setiap tempat mereka kunjungi,” katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, selain sijil vaksin, keputusan ujian negatif PCR sehingga tiga hari sebelum ketibaan dan ujian pantas di pintu sempadan mesti dilakukan sebelum pelancong Singapura masuk ke Malaysia.

Dr Koh Kar Chai.

Bagaimanapun Koh berkata, Malaysia dan Singapura masih belum bersedia untuk membuka pintu sempadan mereka memandangkan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan belum ditetapkan.

“Ketika ini Singapura berdepan dengan lonjakan kes yang tinggi. Ini akan mencetuskan kebimbangan dan melewatkan pembukaan pintu sempadan,” katanya kepada FMT.

Koh juga berkata, pelaksanaan kuarantin tidak lagi praktikal sebaik sempadan dibuka semula memandangkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura akan keluar masuk setiap hari.

Katanya, pelancong Singapura juga memerlukan sistem daftar masuk untuk tujuan pengesanan kontak.

Presiden Majlis Pemandu-pemandu Pelancong Malaysia Jimmy Leong berkata, sebaik sahaja sempadan dibuka, Malaysia akan menyaksikan kedatangan lebih ramai pelancong di kawasan tumpuan dan pusat beli-belah.

Jimmy Leong.

“Johor yang menjadi bandar sempadan bersebelahan Singapura sentiasa bergantung kepada kedatangan pelancong dan mereka yang membeli belah,” katanya kepada FMT dengam menambah bahawa ini adalah masanya untuk membuka perniagaan berkaitan pelancongan secara berperingkat.

Menurut Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Malaysia dan Singapura sedang berbincang mengenai kemungkinan untuk membuka semula pintu sempadan tidak lama lagi.

“Saya difahamkan menteri kesihatan telah mengadakan perbincangan baru-baru ini dengan rakan sejawat di Singapura menerusi panggilan telefon mengenai cadangan untuk membuka semula sempadan antara Singapura dan Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu.

Beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan tidak lama lagi kerana ia diperlukan oleh kedua-dua negara dan jika cadangan berkenaan dipersetujui, Putrajaya boleh meneliti langkah sama untuk membuka pintu sempadan kepada negara lain seperti Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.