Sik, Kuala Muda dilanda banjir kilat

Sik, Kuala Muda dilanda banjir kilat

Menurut bomba, 30 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gulau membabitkan tiga kawasan di Sik.

Di Kuala Muda, dua mukim terjejas banjir termasuk Gurun yang melibatkan tiga kawasan, iaitu Kampung Cengai Sungai Ibor, Kampung Sungai Bongkok dan Kampung Batu 3. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Hujan lebat selama dua jam bermula lewat petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Sik dan Kuala Muda dinaiki air malam tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah berkata, di Sik, tiga kawasan, iaitu Kampung Landai, Kampung Pinang dan Kampung Melaka terjejas menyebabkan 30 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gulau yang dibuka pada 10.30 malam.

“Terdapat dua keluarga yang terperangkap di Kampung Landai kerana dinding rumah runtuh. Bagaimanapun mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba dan penduduk kampung,” katanya.

Di daerah Kuala Muda pula, dua mukim terjejas termasuk Gurun yang melibatkan tiga kawasan, iaitu Kampung Cengai Sungai Ibor, Kampung Sungai Bongkok dan Kampung Batu 3.

“Satu lagi mukim yang terkesan ialah Semeling di mana 20 rumah terlibat dalam kejadian banjir di Kampung Sungai Tok Pawang,” katanya.

Beliau berkata, tiada PPS dibuka setakat ini di daerah Kuala Muda yang menyaksikan keadaan cuaca ketika ini hujan renyai dan paras air yang sebelum ini memcecah antara 0.3 hingga 0.5 meter semakin surut.

Banjir dipercayai turut berlaku di daerah Yan melibatkan beberapa kawasan dan video mengenai kejadian itu tular di media sosial.

Bagaimanapun belum ada maklumat mengenainya setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.