Kos ART lebih cekap tapi pakar turut gesa ambil kira aspek kapasiti di JB

Kos ART lebih cekap tapi pakar turut gesa ambil kira aspek kapasiti di JB

Wan Agyl Wan Hassan berkata perbezaan kos RM7 bilion untuk ART manakala RM16.7 bilion bagi LRT/APM sangat besar dalam keadaan fiskal pasca pandemik.

Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit
Cadangan pembangunan ART di Johor Bahru diperkenalkan pada 2024 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rancangan pembangunan sistem aliran transit automasi (ART) dilihat efisien dari segi kos bagi mengatasi kesesakan di Johor Bahru, kata pakar.

Namun, Wan Agyl Wan Hassan dan Ahmad Farhan Mohd Sadullah berpendapat faktor lain seperti kapasiti penumpang serta permintaan sebenar juga perlu diambil kira dalam menentukan sistem pengangkutan awam yang turut bakal melengkapi projek sistem transit rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

wan agyl wan hassan
Wan Agyl Wan Hassan.

Wan Agyl, pengasas dan penasihat kanan MY Mobility Vision (MMV) berkata kos RM7 bilion untuk pembangunan ART berbanding RM16.7 bilion bagi transit aliran ringan (LRT) atau perkhidmatan penggerak penumpang automasi (APM) yang mungkin menelan RM16.7 bilion antara faktor utama perlu dipertimbang.

“Perbezaannya hampir RM10 bilion iaitu satu jumlah besar dalam keadaan fiskal pasca pandemik, di mana kerajaan persekutuan dan negeri tidak mempunyai lebihan kewangan.

“Faktor kos ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya kepada FMT mengulas perbahasan terbaru sama ada sistem ART atau LRT/APM sesuai diperkenal bagi mengatasi kesesakan di Johor Baharu dan menyokong RTS Link Johor Bahru-Singapura yang bakal siap Januari depan.

Mengakui kelebihan sistem rel ringan seperti APM-LRT mampu membawa lebih banyak penumpang iaitu sehingga 10,000 orang, Wan Agyl berkata kerajaan perlu jelas berhubung permintaan dan penetapan rangka guna tanah sebelum memilih teknologi sesuai.

“Johor Bahru kini berpotensi menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan infrastruktur transit Malaysia pasca RTS.

“Memilih teknologi tepat itu penting, tetapi menyusun perancangan dengan betul jauh lebih penting,” katanya turut mencadangkan ART dipertimbang sebagai penyelesaian sementara ketika RTS Link mula beroperasi, sementara APM-LRT dirancang untuk jangka sederhana.

Pada 11 Mac lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dilaporkan Bernama berkata pembentangan khas mengenai kaedah dan perancangan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Johor Bahru termasuk pembangunan ART bertingkat akan dibuat selepas Aidilfitri.

Beliau berkata, cadangan pembangunan ART diperkenalkan pada 2024 itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Disember lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kelulusan bagi projek ART yang membabitkan 32 stesen dengan jarak lebih 50km sedang dalam perbincangan dan perincian berkaitan pelaksanaannya akan dimuktamadkan.

Difahamkan, kos operasi dan penyelenggaraan ART juga dijangka lebih rendah kerana tidak memerlukan rel fizikal sekali gus mempercepatkan pembinaan tanpa melalui proses reka bentuk kompleks.

Pada 13 Okt lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata Aerotrain di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu sistem APM mengalami 19 gangguan dari 2 Julai hingga 30 Sept pada tahun itu.

Bagaimanapun, pakar pengangkutan dari Australia, Malcolm Owens, dipetik MalayMail pada 12 Mac lalu mencadangkan APM dengan kapasiti penumpang setara LRT sebagai sistem paling sesuai bagi bandar bersaiz sederhana yang berkembang pesat seperti Johor Bahru.

Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Farhan yang juga naib canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) turut senada dengan Wan Agyl yang perancangan pengangkutan awam untuk Johor Bahru perlu diteliti terlebih dahulu untuk menentukan teknologi sesuai.

“Dari segi kos pastinya APM lebih mahal dan perlu dibezakan dengan LRT kerana ia banyak digunakan di kawasan tertutup dan bukan untuk sistem pengangkutan bandar.

“Tetapi, dari segi keberkesanan terhadap mobiliti, ART boleh mengurangkan kapasiti jalan sedia ada dan penggunanya masih tertakluk kepada kelengahan kerana konflik di lalu lintas masih boleh berlaku,” katanya.

rosli khan
Rosli Khan.

Perunding pengangkutan, Rosli Khan, pula berkata RTS perlu diperluaskan ke kawasan berkepadatan tinggi bukan hanya Woodlands ke Bukit Chagar yang menyebabkan menyebabkan pengguna masih perlu bergantung kepada pengangkutan sampingan untuk ke stesen terbabit.

Beliau mencadangkan ia diperluas ke Skudai, Senai dan Kulai di utara, serta Larkin, Permas Jaya, Masai dan Pasir Gudang di timur bagi membentuk rangkaian pengangkutan benar-benar menyeluruh.

“Johor Bahru memerlukan sistem setaraf dengan Singapura dan apa yang dibina hari ini perlu mampu berfungsi untuk 20 hingga 30 tahun akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.