
Syarikat induk Nylex, Ancom Nylex Bhd, mengumumkan penerimaan LoI bertarikh 5 Mei itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Kerajaan memberikan kelulusan secara prinsip kepada konsortium yang terdiri daripada DOM Industries (M) Sdn Bhd, MMC Engineering Sdn Bhd, BTS Group Holdings PCL dan Nylex untuk melaksanakan cadangan projek itu,” katanya.
Difahamkan perniagaan DOM Industries merangkumi sektor kereta api dan teknologi maklumat, manakala MMC Engineering terlibat dalam kerja kejuruteraan dan pembinaan khusus.
BTS Group Holdings pula ialah syarikat berpangkalan di Thailand yang terlibat dalam pengangkutan awam, pemasaran dan perniagaan lain. Perniagaan Nylex pula termasuk pembangunan hartanah dan pelaburan dalam aset hartanah.
Ancom berkata projek itu melibatkan sistem rel berkapasiti sederhana yang akan dibangunkan menerusi model kerjasama awam-swasta.
Syarikat induk itu juga berkata konsortium berkenaan akan merundingkan terma dan syarat dengan kerajaan, dan pelaksanaan projek tertakluk kepada pemeteraian serta pemuktamadan perjanjian antara pihak-pihak terlibat.
Jumaat lalu, Perunding pengangkutan Rosli Khan mempersoalkan peranan dimainkan Ukas, iaitu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri, bagi projek transit rapid di Johor Bahru.
Rosli mengulas laporan The Edge bahawa Ukas dijangka mengeluarkan surat niat (LoI) bagi projek di Johor Bahru itu, yang dianggarkan menelan kos hampir RM7 bilion dan dilaksanakan menerusi kaedah kerjasama awam-swasta (PPP).
Beliau mempersoalkan pihak dalam kerajaan yang memberikan nasihat serta kepakaran teknikal berhubung pemilihan teknologi bagi projek itu, dan sama ada peranan tersebut benar-benar berpaksikan kepakaran pakar pengangkutan, bukan hanya sebuah unit PPP.
Rosli turut bertanya sama ada MRT Corp atau Prasarana terbabit dalam perancangan projek itu, khususnya jika sistem yang dipilih sudah berubah.
Katanya, perkara itu menjadi lebih penting kerana projek berkenaan pada awalnya diperkenalkan kepada umum sebagai sistem ART bertingkat, namun cadangan yang kini dibincangkan kelihatan lebih menjurus kepada sistem penggerak penumpang automasi (APM).
Menurutnya, perkembangan itu turut menimbulkan persoalan lebih besar sama ada projek itu digerakkan berdasarkan perancangan kerajaan atau didorong oleh cadangan pihak tertentu.
Selain itu turut berbangkit sama ada kajian menyeluruh terhadap pilihan lain sudah dibuat sebelum satu sistem muncul sebagai pilihan utama.