
Perunding pengangkutan Rosli Khan berkata walaupun pembabitan Ukas dalam urusan kerjasama awam-swasta (PPP) bukan sesuatu yang luar biasa, skop peranannya dalam projek transit aliran automasi (ART) Johor Bahru masih tidak jelas.

“Adakah Ukas hanya mengurus proses perolehan atau turut terlibat dalam menentukan sistem pengangkutan yang dipilih?” soalnya.
Rosli berkata berdasarkan pelan induk Ukas sendiri, unit itu dikategorikan sebagai agensi pusat di bawah JPM yang bertanggungjawab merancang, menilai, menyelaras dan merundingkan pelaksanaan projek PPP.
Namun, katanya, keputusan berkaitan projek pengangkutan biasanya memerlukan pertimbangan teknikal membabitkan kapasiti, operasi, penyelenggaraan dan kesesuaian jangka panjang, bukan sekadar struktur komersial atau pembiayaan.
Rosli mengulas laporan The Edge bahawa Ukas dijangka mengeluarkan surat niat (LoI) bagi projek di Johor Bahru itu, yang dianggarkan menelan kos hampir RM7 bilion dan dilaksanakan menerusi kaedah PPP.
Beliau mempersoalkan pihak dalam kerajaan yang memberikan nasihat serta kepakaran teknikal berhubung pemilihan teknologi bagi projek itu, dan sama ada peranan tersebut benar-benar berpaksikan kepakaran pakar pengangkutan, bukan hanya sebuah unit PPP.
Rosli turut bertanya sama ada MRT Corp atau Prasarana terbabit dalam perancangan projek itu, khususnya jika sistem yang dipilih sudah berubah.
Katanya, perkara itu menjadi lebih penting kerana projek berkenaan pada awalnya diperkenalkan kepada umum sebagai sistem ART bertingkat, namun cadangan yang kini dibincangkan kelihatan lebih menjurus kepada sistem penggerak penumpang automasi (APM).
Rosli berkata, perkembangan itu turut menimbulkan persoalan lebih besar sama ada projek itu digerakkan berdasarkan perancangan kerajaan atau didorong oleh cadangan pihak tertentu.
Selain itu turut berbangkit sama ada kajian menyeluruh terhadap pilihan lain sudah dibuat sebelum satu sistem muncul sebagai pilihan utama.
Menurutnya, isu itu amat penting kerana projek berkenaan masih di peringkat LoI, dengan tiada konsesi penuh dimeterai setakat ini.
“Ini bermakna projek itu masih belum muktamad dari sudut politik dan kewangan,” katanya.
Rosli berkata sekurang-kurangnya Ukas perlu menjelaskan sama ada ia hanya mengurus struktur PPP dan pembiayaan, atau turut mempengaruhi pemilihan akhir teknologi bagi projek berkenaan.
Beliau berkata Ukas juga perlu mendedahkan kajian teknikal yang digunakan untuk menilai cadangan itu sebelum projek tersebut diteruskan ke peringkat seterusnya.