KBS tak salur peruntukan untuk Sukma 2026, tawar kemudahan fasiliti

KBS tak salur peruntukan untuk Sukma 2026, tawar kemudahan fasiliti

Menterinya Dr Taufiq Johari berkata ia selaras usaha kerajaan laksanakan langkah penjimatan serta pengurusan kewangan secara berhemah.

sukma 2026 bernama pic 16825
Tarikh penganjuran Sukma dan Para Sukma kekal tetapi temasya itu termasuk majlis pembukaan dan penutup dibuat dalam skala lebih kecil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menyalurkan peruntukan kewangan secara langsung kepada Selangor selaku tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2026, sebaliknya akan menyediakan kemudahan fasiliti, kata menterinya Dr Taufiq Johari.

Taufiq Johari berkata keputusan itu dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini, dengan jawatankuasa pelaksana Sukma ke-22 dan Para Sukma Selangor 2026 untuk mengendalikan temasya berkenaan.

Katanya, pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan melaksanakan langkah penjimatan serta pengurusan kewangan secara berhemah.

“Sebenarnya keputusan ini telah dibuat lebih awal di peringkat Jemaah Menteri bahawa kerajaan persekutuan tidak menyalurkan bantuan atau sebarang dana, jadi kos itu perlu ditanggung oleh negeri terlibat dan perkara ini dipersetujui sebelum ini.

“Namun, kita tetap memberikan bantuan dalam aspek lain misalnya Selangor boleh menggunakan fasiliti milik Persekutuan dan kita akan memberi keringanan dari segi penggunaan fasiliti tersebut.

“Ada beberapa fasiliti diberikan secara percuma termasuk tempat dan kemudahan tertentu,” katanya yang dilaporkan Bernama sebagai berkata di Kuala Lumpur.

Taufiq berkata antara bantuan lain yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa khas tertinggi Sukma 2026 ialah kos ujian antidoping yang ditetapkan Agensi Anti-Doping Malaysia.

Semalam, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi memaklumkan kerajaan negeri itu akan melaksanakan langkah penjimatan dengan mengurangkan hampir separuh daripada kos asal penganjuran iaitu RM100 juta sebelum ini kepada kira-kira RM40 juta hingga RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.