
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata, peruntukan asal sebanyak RM100 juta sebelum ini akan dikurangkan kepada sekitar RM40 juta hingga RM50 juta.
Langkah itu, katanya, diambil selaras titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenan penganjuran diteruskan dengan langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemat.
“Dalam keadaan sekarang ini kita mencuba untuk mengurangkan hampir separuh daripada kos asal. Jadi kemungkinan dalam julat RM40 juta ke RM50 juta dan sekarang ini kita sedang dalam proses untuk merangka angka-angka untuk pengurangan tersebut.
“Jadi banyak daripada pemotongan lebih kepada acara bersifat seremonial, kita kecilkan skalanya dan kita pastikanlah kos yang kita dapat ini adalah untuk kita laksanakan dengan sebaiknya penganjuran sukan,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi Sukma 2026 di Menara KBS, Putrajaya, lapor Bernama.
Mohd Najwan berkata, majlis perasmian Sukma 2026 yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dan majlis penutupan akan tetap diadakan namun dalam skala yang lebih kecil dan simbolik bagi mengelakkan pembaziran.
Selain acara keraian, pengurangan kos turut melibatkan pengecilan skop sukarelawan daripada sasaran asal 30,000 orang kepada bawah 5,000 orang, sementara kemudahan sukan sedia ada akan digunakan sepenuhnya tanpa melibatkan pembinaan infrastruktur baharu.
Walaupun belanjawan dikurangkan, Mohd Najwan memberi jaminan bahawa aspek teknikal dan kualiti pertandingan tidak akan terjejas demi memastikan prestasi atlet berada pada tahap tertinggi.
“Dari segi pertandingan dan teknikal kita akan laksanakan mengikut standard dan piawaian yang ditetapkan. Kita tak nak jadikan subjek pengurangan kos ini menjadi asbab kepada kita hendak jatuhkan standard penganjuran acara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri akan menanggung kos penganjuran, namun pada masa sama perbincangan sedang dijalankan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung keperluan perkongsian kemudahan.
Menurutnya, beberapa infrastruktur yang sebelum ini dirancang untuk disewa mungkin dapat digantikan melalui penggunaan fasiliti sedia ada milik Majlis Sukan Negara (MSN).
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, yang mempengerusikan mesyuarat hari ini, merakamkan penghargaan kepada Sultan Sharafuddin atas perkenan supaya Sukma 2026 diteruskan demi pembangunan atlet dan sukan negara.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah penganjuran Sukma Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Bagaimanapun, baginda memperkenan temasya sukan dwitahunan itu diteruskan secara berhemah setelah menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.