Sultan Selangor sukacita hasil pertemuan berhubung Sukma 2026 dengan KBS

Sultan Selangor sukacita hasil pertemuan berhubung Sukma 2026 dengan KBS

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris
Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari dalam pertemuan mereka hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sukacita dengan hasil pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari berhubung penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.

Baginda berkenan menerima menghadap Taufiq di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, Pejabat Diraja Selangor memaklumkan Sultan Sharafuddin berpuas hati dengan langkah penganjur untuk mengurangkan perbelanjaan selaras dengan keadaan ekonomi semasa.

Menurutnya, baginda menegaskan bahawa setiap perbelanjaan untuk Sukma kali ini mestilah hanya tertumpu kepada perkara penting sahaja dengan memberi fokus kepada pembangunan sukan dan atlet muda di peringkat tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Najwan Halimi sebelum ini berkata persiapan terperinci serta anggaran kos terkini bagi temasya itu akan dibentangkan kepada baginda hari ini.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa tertinggi Sukma yang dijadualkan esok juga akan membincangkan perancangan acara serta mendapatkan pandangan daripada semua negeri yang mengambil bahagian.

Najwan, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur Sukma ke-22 dan Para Sukma Selangor 2026, berkata sebanyak 37 acara sukan akan dipertandingkan, termasuk penambahan sukan silambam, muay thai dan petanque.

Sultan Sharafuddin telah memberi perkenan kepada negeri itu untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Khamis lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.