Adun Gombak Setia digantung 2 hari

Adun Gombak Setia digantung 2 hari

Hilman Idham berkata beliau dihalang tanya soalan tambahan sebelum digantung.

Hilman Idham
Adun Gombak Setia Hilman Idham menuduh Speaker DUN Selangor mengendalikan perbahasan secara autoritarian.
PETALING JAYA:
Adun Gombak Setia, Hilman Idham digantung dua hari daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, ini menjadikan beliau wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) ketiga yang dikenakan tindakan disiplin.

Hilman berkata, arahan itu dikeluarkan selepas beliau mencabar keputusan Speaker DUN, Lau Weng San menghalangnya mengemukakan soalan tambahan selepas soalan lisannya dalam sidang hari ini.

Ketua Pemuda Bersatu itu mengkritik tindakan Lau dengan mendakwa ia bersifat autoritarian dan memudaratkan perbahasan dalam DUN.

“Saya amat kecewa dengan sikap diktator Speaker yang menghalang saya dan beberapa Adun bersuara demi kepentingan rakyat Selangor.

“Soalan saya bukan bersifat politik. Soalan saya mengenai tenaga boleh diperbaharui, yang merupakan topik sangat penting ketika kita berdepan krisis tenaga global dan berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga fosil,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, dua Adun PN digantung tiga hari kerana mencabar keputusan speaker menolak usul merujuk Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Ketua Pembangkang negeri, Azmin Ali menuduh Lau menyalahgunakan kuasanya dengan menggantung Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan Adun Kuang, Rafiq Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.