Tiada isu bubar, Anwar tegas pentadbiran N Sembilan jalan seperti biasa

Tiada isu bubar, Anwar tegas pentadbiran N Sembilan jalan seperti biasa

Perdana menteri berkata langkah itu selaras nasihat Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pentadbiran diteruskan sementara proses lain diselesai mengikut undang-undang.

dun negeri sembilan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tidak timbul isu pembubaran DUN Negeri Sembilan ketika ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan membubarkan DUN Negeri Sembilan ketika ini, dengan pentadbiran negeri terus berjalan seperti biasa.

Beliau berkata, langkah itu selaras nasihat Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya pentadbiran diteruskan sementara proses lain diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

“Semalam, saya menghadap Tuanku, dan berterima kasih atas pertimbangan baginda supaya menteri besar meneruskan tugas demi kepentingan rakyat.

“Setakat ini, tidak timbul isu pembubaran. Apa yang dibincangkan adalah pandangan serta nasihat Tuanku supaya pentadbiran diteruskan sementara proses lain berjalan,” katanya selepas program temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI.

Krisis Negeri Sembilan tercetus selepas Mubarak Dohak, bekas Undang Sungei Ujong, mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar dalam sidang media bersama tiga Undang lain pada 19 April.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf penyingkiran Tuanku Muhriz kerana Mubarak telah disingkirkan secara sah sebagai Undang pada 13 Mei tahun lalu kerana melanggar hukum adat.

Semalam, semua 14 Adun Umno mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar.

BN negeri kemudian mendakwa ia mempunyai majoriti mudah dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional.

Anwar berkata, kerajaan negeri diminta meneruskan tugas seperti biasa, manakala sebarang proses perundangan tidak dihalang.

“Saya telah meminta Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menjalankan tugas seperti biasa dan proses perundangan diteruskan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan pelantikan atau pengunduran bukan mudah kerana perlu mendapat persetujuan empat Undang, selaras sistem perundangan Negeri Sembilan.

“Apabila pelantikan melibatkan lebih ramai pihak, ia perlu dibuat bersama empat Undang…pengunduran juga begitu,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan mencampuri urusan melibatkan institusi raja atau Undang, sebaliknya menghormati sepenuhnya proses berkenaan.

“Kita tidak menyentuh isu berkaitan raja atau Undang, dan perkara itu kita muliakan tanpa membangkitkan implikasi lain,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak tidak membuat spekulasi berlebihan yang boleh menimbulkan kekeliruan.

“Jangan terlalu banyak membuat andaian dalam politik ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.