
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar termasuk krisis semasa, ini bukan masa untuk pihak berkepentingan ‘berebut atau bertegang’ sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran.
Teguran itu dipercayai merujuk tindakan 14 Adun Barisan Nasional yang mengumumkan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, semalam.
BN negeri kemudian mendakwa ia mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi.
“Negara kini berdepan isu ekonomi, termasuk krisis semasa dan ini bukan masa untuk berebut atau bertegang,” katanya selepas program temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI.
Mengulas tempoh penyelesaian krisis itu, Anwar berkata proses perlu memberi ruang kepada semua pihak membuat keputusan secara tertib.
“Saya tidak boleh memberikan tempoh atau tarikh tertentu kerana wajar kita beri ruang kepada semua pihak untuk membuat keputusan dengan baik, memandangkan keputusan dibuat oleh pihak yang memahami sistem perundangan Negeri Sembilan itu,” katanya.
Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan bertemu Presiden Umno Zahid Hamidi dalam masa terdekat untuk membincangkan isu berkenaan.
“Mungkin hari ini, kerana semalam selepas majlis, saya ke istana dan tidak sempat bertemu beliau,” katanya.