BUDI95 hanya untuk B40 boleh jimat RM1.5 bilion sebulan, kata penganalisis

BUDI95 hanya untuk B40 boleh jimat RM1.5 bilion sebulan, kata penganalisis

Langkah itu antara pendekatan lebih bersasar dalam menangani tekanan kos sara hidup selari pendirian perdana menteri tidak semua isu dapat ditangani sepenuhnya kerana kekangan kewangan.

RON95
Penganalisis berkata antara langkah boleh dipertimbangkan adalah mengehadkan jumlah liter bahan api bersubsidi yang boleh digunakan kumpulan berpendapatan tinggi.
PETALING JAYA:
Kerajaan disaran mengehadkan skim subsidi bahan api BUDI95 kepada golongan B40 sahaja kerana ia berpotensi menjimatkan sehingga RM1.5 bilion sebulan.
Ahmed Razman Abdul Latiff.
Ahmed Razman Abdul Latiff.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, langkah itu antara pendekatan lebih bersasar boleh diambil dalam menangani tekanan kos sara hidup, selari pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak semua isu dapat ditangani sepenuhnya berikutan kekangan kewangan negara.

Katanya, ketika ini subsidi bahan api masih dinikmati secara meluas termasuk golongan berpendapatan tinggi (T20), sekali gus menyebabkan bebanan perbelanjaan kerajaan.

“Langkah lain boleh diambil ialah menstruktur subsidi sedia ada supaya hanya golongan layak akan menerimanya. Sebagai contoh, sekarang BUDI95 diberi kepada semua rakyat Malaysia yang memegang lesen kenderaan. Mungkin lepas ini hanya diberi kepada B40 dan M40 yang layak sahaja.

“Ini akan menjimatkan duit kerajaan kerana lebih 30% penggunaan RON95 adalah golongan T20. Kalau RM5 bilion dibelanjakan untuk subsidi setiap bulan dan 30% digunakan oleh T20, kerajaan dapat jimat RM1.5 bilion sebulan kalau T20 tidak boleh guna BUDI95,” katanya kepada FMT.

Semalam, kerajaan tidak menafikan wujud tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga barang namun langkah menanganinya perlu dilaksanakan secara bijak dan bersasar.

Anwar berkata, tidak semua permasalahan dapat ditangani sepenuhnya memandangkan kekangan kewangan negara terutama dalam situasi global yang tidak menentu.

Afzanizam Abdul Rashid.

Senada dengan Razman, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Afzanizam Abdul Rashid, berkata kerajaan disaran mengekalkan subsidi bahan api RON95 bagi golongan rentan, pada masa sama menyemak semula pemberian kepada golongan berpendapatan tinggi bagi mengurangkan tekanan fiskal.

Katanya, buat masa ini tidak dapat dipastikan bila perang di Iran bakal berakhir serta jangkaan Selat Hormuz dibuka justeru keadaan itu menyebabkan bekalan bahan api terus terjejas sekali gus meningkatkan perbelanjaan subsidi oleh kerajaan.

“Kerajaan boleh menyemak semula subsidi bahan api kepada golongan berpendapatan tinggi. Penjimatan daripada langkah ini dijangka agak signifikan memandangkan golongan berpendapatan tinggi rata-ratanya menggunakan kenderaan berkuasa tinggi, sekali gus manfaat subsidi akan lebih dinikmati oleh golongan ini (berpendapatan rendah).

“Perkara ini berdasarkan kajian Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), oleh itu rasionalisasi subsidi boleh dilaksanakan kepada golongan berpendapatan tinggi,” katanya.

Afzanizam berkata, antara langkah boleh dipertimbangkan adalah mengehadkan jumlah liter bahan api bersubsidi yang boleh digunakan kumpulan berpendapatan tinggi.

Menurutnya, kerajaan juga boleh memperluas penggunaan sistem berasaskan MyKad dalam pengagihan subsidi, memandangkan kaedah itu dilihat berkesan dalam pelaksanaan bantuan sebelum ini seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Maka sudah tiba masa untuk dikembangkan penggunaannya dengan menyasarkan subsidi bahan api berdasarkan tahap pendapatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.