
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, penjimatan itu melibatkan 120,816 liter petrol atau RM239,215.68 sehari.
“Walaupun mungkin angka itu tidak besar tapi saya lihat ia sumbangan yang signifikan daripada penjawat awam untuk membantu kerajaan menangani bebanan kewangan ekoran daripada krisis di Timur Tengah (Asia Barat),” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Pesara Uzur di Kluang, hari ini, lapor Bernama.
Setakat hari ini, sebanyak 20,136 penjawat awam terlibat dalam pelaksanaan BDR, berbanding 15,452 pada 15 April lepas.
Wan Ahmad Dahlan berkata, pelaksanaan BDR tidak menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat, memandangkan ia hanya melibatkan tugasan yang tidak perlu dilakukan di pejabat.
“(Bagaimanapun) buat masa ini BDR tidak dilaksanakan pada Isnin kerana kita nak bagi tugasan kepada penjawat awam yang akan BDR, dan pada Jumaat pula adalah untuk penilaian produktiviti kerja,” katanya.
Sejak penularan wabak Covid-19 yang lalu, beberapa negara termasuk Singapura telah melaksanakan BDR, dengan pemantauan produktiviti kerja serta indeks prestasi utama (KPI) dinilai oleh ketua masing-masing.
Pelaksanaan BDR tiga hari seminggu bagi penjawat awam ialah langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis bekalan global ekoran konflik di Asia Barat.
Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan menziarahi rumah tiga pesara yang uzur termasuk seorang bekas juru X-ray di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Md Suli Daud, 70, yang lumpuh dan terlantar.
Md Suli menerima sumbangan barangan keperluan harian dan katil khas, sementara dua lagi penerima menerima sumbangan bakul makanan dan kerusi roda elektrik.
Program itu bertujuan menziarahi pesara yang menghadapi masalah kesihatan dan kewangan, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan yang sentiasa prihatin dengan golongan berkenaan.