
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu kini dalam peringkat penelitian oleh MoF sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Ini sedang diteliti untuk pelaksanaan oleh pihak MoF,” katanya pada taklimat krisis bekalan global dan sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri.
Fahmi berkata cadangan untuk menyelaraskan subsidi diesel antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung belum dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri setakat ini.
Pada 28 Mac lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali, berkata cadangan pelaksanaan mekanisme subsidi diesel bersasar akan dibawa untuk perbincangan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak sebelum dilaksanakan.
Mengulas situasi pasaran bekalan global, Fahmi berkata kerajaan sentiasa memantau pergerakan harga minyak mentah dunia bagi menentukan langkah berkaitan dasar subsidi bahan api negara, termasuk BUDI95 dan BUDI Diesel.
Fahmi berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memaklumkan bekalan minyak mentah oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berada pada tahap memuaskan bagi Mei dan Jun.
“Pada masa sama, MTEN memberi perhatian serius terhadap pergerakan harga global, sama ada minyak mentah atau produk petroleum seperti RON95 dan diesel, susulan perkembangan semasa berkaitan Selat Hormuz yang masih ditutup.
“Oleh itu, beberapa langkah berkaitan BUDI95 dan BUDI Diesel, termasuk BUDI Individu, sedang diselaraskan dan masih dalam penelitian. Fokus utama ketika ini adalah kestabilan bekalan serta impak harga minyak global,” katanya.
Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata senario gangguan bekalan yang berpanjangan, pemulihan bekalan minyak mentah dijangka mengambil masa antara tiga hingga 12 bulan, manakala pembaikan prasarana minyak dan gas yang rosak memerlukan tempoh lebih panjang.
Katanya, harga purata minyak mentah Brent di pasaran global menurun sebanyak 6.7% kepada USD109.94 setong bagi tempoh 20 hingga 24 April 2026, berbanding USD117.84 setong pada minggu sebelumnya.
Katanya, perbandingan harga pada awal dan akhir minggu berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 6.5%.