
Jurucakap kerajaan itu berkata banyak platform media sosial melihat diri mereka berada di atas kerajaan dan tidak cenderung mematuhi pengawasan peraturan.
“Platform media sosial merasakan mereka ini entiti merentasi negara, lebih besar daripada sesebuah negara, dan undang-undang kita tidak terpakai kepada mereka,” katanya pada Persidangan Hak Wanita 2026.
Merujuk laporan Reuters yang menyatakan Meta menjana kira-kira RM600 juta hasil pengiklanan dari Malaysia sahaja, Fahmi mempersoalkan sama ada syarikat sebegitu benar-benar akan tunduk kepada tekanan kerajaan.
“Adakah anda fikir mereka akan mendengar arahan seorang menteri?” katanya.
Meta, syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat, mengendalikan beberapa platform utama termasuk Facebook, Instagram, WhatsApp, Messenger dan Threads.
Pada 15 April lalu, Meta dilaporkan sedang berbincang dengan Putrajaya mengenai cadangan mengehadkan akses media sosial kepada pengguna bawah 16 tahun.
Kerajaan memberi bayangan dasar itu mungkin dilaksanakan seawal pertengahan 2026, dengan platform diwajibkan menyediakan langkah perlindungan untuk mengehadkan akses golongan bawah umur.
Meta memaklumkan pihaknya sedang mengadakan perbincangan ‘secara konstruktif’ dengan kerajaan serta berkongsi pengalaman dari negara lain, sambil menegaskan akan mematuhi apa jua rangka kerja peraturan yang ditetapkan Malaysia.
Cadangan sekatan terhadap pengguna bawah 16 tahun ini antara sebahagian daripada usaha global yang lebih meluas untuk mengawal akses kanak-kanak kepada media sosial, susulan kebimbangan terhadap buli siber, eksploitasi dan risiko kesihatan mental.
Dalam masa sama, kerajaan di seluruh dunia semakin menuntut platform memainkan peranan lebih besar dalam melindungi pengguna.
“Kita perlukan undang-undang ini, tetapi lebih penting, kita perlukan platform dan pemiliknya untuk patuh,” kata Fahmi.
Beliau menambah usaha menangani mudarat dalam talian memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan pengawal selia, agensi penguat kuasa dan sistem kehakiman.
Fahmi sebelum ini turut mengkritik Meta dan X kerana didakwa tidak melakukan secukupnya untuk menangani buli siber, penipuan dan kandungan berbahaya di platform masing-masing.