41 kes penyakit berkaitan cuaca panas

41 kes penyakit berkaitan cuaca panas

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata majoriti babit kes kelesuan haba.

cuaca panas
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata 35 kes membabitkan kelesuan haba, diikuti tiga kes strok haba akibat aktiviti fizikal, dua kes strok haba dalam ruang tertutup, manakala satu kes kekejangan haba.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 41 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan setakat ini dengan majoriti membabitkan kes kelesuan haba, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Daripada jumlah itu, katanya, 35 kes membabitkan kelesuan haba, diikuti tiga kes strok haba akibat aktiviti fizikal, dua kes strok haba dalam ruang tertutup, manakala satu kes kekejangan haba.

“Bagaimanapun, setakat semalam (24 April), tiada kes baharu berkaitan cuaca panas dilaporkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Resipi “Mai Kurang” dan program Rewang Bersama Komuniti di Memorial Tun Abdul Razak di sini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, setakat 6 pagi tadi, lima negeri merekodkan cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga membabitkan Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Sik), Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai), Perak (Kuala Kangsar dan Hulu Perak) serta Jerantut di Pahang.

Menurutnya, daerah Machang di Kelantan merekodkan cuaca panas Tahap 2 atau gelombang haba.

Dalam pada itu, Dzulkefly menyokong kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian susulan krisis bekalan global.

Katanya, langkah itu selaras pendekatan kerajaan menekankan tatakelola kewangan berhemat, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa.

“Langkah segera perlu dipertimbangkan bagi memastikan Malaysia tidak berdepan situasi catuan tenaga seperti yang berlaku di beberapa negara lain.”

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan sedang memperhalusi langkah lebih drastik bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan krisis bekalan global, termasuk mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian.

Jelasnya, tindakan segera itu perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak terjerumus situasi catuan tenaga seperti dihadapi beberapa negara lain dan keputusan muktamad akan ditentukan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.