Derita luar dan dalam: Perjuangan 2 wanita penghidap ekzema

Derita luar dan dalam: Perjuangan 2 wanita penghidap ekzema

Dianggap 'kotor' dan dijauhi, dua wanita menceritakan luka paling pedih datangnya daripada pandangan negatif masyarakat.

ezcema
Pada 2023 media melaporkan lebih 20% kanak-kanak di Malaysia terkesan dengan ekzema jenis atopic dermatitis, menurut Persatuan Dermatologi Malaysia. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Mereka sering dilihat ‘kotor’ atau dijauhi sedangkan hakikatnya amat menjaga kebersihan diri. Bagi dua penghidap ekzema, luka yang ditanggung bukan sekadar pada tubuh tetapi cara masyarakat menatap mereka.

Wan Qistina Wan Izahan Zameree, 22, menghidap ekzema sejak lahir sebelum didiagnosis dengan ‘topical steroid withdrawal’ (TSW) pada 2024.

Di sebalik sindrom ini tersirat ironi pahit: ubat digunakan untuk menyembuhkan keradangan kulit mencetuskan keradangan yang teruk apabila rawatan dihentikan. Lazimnya ia muncul dengan tanda seperti kemerahan, rasa bahang, atau kegatalan, antara lain.

“Kulit saya mengelupas dalam bentuk partikel halus seperti debu. Ia bukan kotor, itu cuma kulit mati,” katanya kepada FMT.

Wan Qistina Wan Izahan Zameree.
Wan Qistina Wan Izahan Zameree.

Wan Qistina berkata, amalan penjagaan rapi wajib agar boleh menjalani kehidupan seperti biasa, antaranya sentiasa memastikan kelembapan kulit dengan pelembap khas yang bebas bahan kimia dan amalan pemakanan bagi mengelakkan keradangan tercetus.

Namun, bagi wanita yang bekerja di sektor korporat ini, keadaan kulit tidak menentu menjejaskan emosi dan semangatnya, diburukkan lagi dengan pandangan negatif sesetengah orang.

“Ada masa saya rasa nak berhenti, duduk di rumah saja. Rasa diri hodoh, tak nak jumpa orang,” katanya.

Namun Wan Qistina bingkas, dengan menceritakan perihal ekzema dan TSW di media sosial bagi memahamkan masyarakat.

“Langkah paling besar saya ambil ialah muat naik gambar diri saya dengan TSW. Saya nak orang nampak ini normal dan kita tak patut malu dengannya.”

Nor Shafeeza Azman, 33, amat memahami penderitaan Wan Qistina dan ekzema. Pada 2023, New Straits Times melaporkan lebih 20% kanak-kanak di Malaysia terkesan dengan ekzema jenis atopic dermatitis, menurut Persatuan Dermatologi Malaysia.

Nor Shafeeza Azman.
Nor Shafeeza Azman.

Nor Shafeeza menghidap ekzema sejak usia enam tahun, dan masih ingat apabila tangannya dipenuhi darah serta nanah sehingga terpaksa ke tadika dalam keadaan berbalut.

“Saya dipulaukan, kawan tadika pelik kenapa tangan berbalut. Dari kecil ibu bapa kawal tidak bagi saya main dengan kawan di taman mainan.

“Sehingga dewasa pun ada yang takut ekzema ini berjangkit. Ada yang ingat ini kudis buta. Ia buat saya sedih,” katanya.

Selama 28 tahun wanita ini berulang-alik ke hospital, pengalaman yang mengajar erti jangan berputus asa.

“Saya nampak pesakit lain yang lebih teruk. Dari situ saya sedar, kenapa saya perlu putus asa?” katanya.

Dengan rawatan konsisten, disiplin dan mematuhi saranan doktor, keadaannya beransur pulih. “Tanpa saya sedar, kulit saya semakin baik. Sekarang saya boleh kata kulit kembali sihat, macam kulit bayi,” katanya.

Wan Qistina dan Shafeeza berkongsi perjuangan sama — menahan sakit, memahami tubuh sendiri, dan melawan stigma.

Mereka cuma mahu difahami kerana luka pada badan sudah cukup pedih, tidak perlu ditambah dengan pandangan serong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.