Warga emas tinggal sendirian meningkat ketara, kata Dzulkefly

Warga emas tinggal sendirian meningkat ketara, kata Dzulkefly

Menteri kesihatan berkata tinjauan menunjukkan 61.3% daripada golongan ini masih mempunyai tahap sokongan sosial yang tinggi.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata beban penyakit tidak berjangkit melonjak apabila 73% warga emas menghidap hipertensi, 76% kolesterol tinggi, dan 39% diabetes. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2025 (NHMS 2025) mendedahkan peningkatan ketara warga emas yang tinggal bersendirian kepada 18.8%, hampir tiga kali ganda berbanding 6.3% pada 2018, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, tinjauan sama menunjukkan 61.3% daripada golongan ini masih mempunyai tahap sokongan sosial yang tinggi.

“Dengan populasi warga emas kini mencecah 4.1 juta orang dan hampir satu perlima tinggal bersendirian, kekangan pengangkutan menjadi hambatan utama untuk mereka mendapatkan rawatan kesihatan secara konsisten.

“Ia bukan sekadar isu logistik, tetapi faktor kritikal yang menjejaskan kualiti hidup dan keselamatan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dapatan NHMS 2025.

Menurutnya, cabaran kedua melibatkan tekanan berat dipikul penjaga apabila satu daripada tiga dilaporkan menanggung beban fizikal, emosi, dan kewangan yang signifikan.

Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan hanya 40% rakyat mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencukupi untuk hari tua.

“Dilema ekonomi ini memaksa keluarga mendahulukan keperluan asas sehingga aspek penjagaan kesihatan terpaksa diketepikan,” katanya.

Dzulkefly berkata, laporan NHMS 2025 bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan realiti kehidupan warga emas serta menjadi panduan strategik kepada Kementerian Kesihatan.

“Data ini adalah kompas moral dan strategik dalam memantau Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023–2030 yang sedang dilaksanakan.

“Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang 2036, dengan lebih 15% penduduk berumur 60 tahun ke atas. Kepantasan ini antara yang terpantas di dunia dan kita tidak mempunyai masa yang mewah. Kita perlu bertindak sekarang,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata dari segi kesihatan mental, kadar kemurungan dalam kalangan warga emas menunjukkan penurunan kepada 8.0%, berbanding 11.2% pada 2018.

Beliau berkata, kebergantungan fizikal bagi aktiviti kehidupan harian turut menunjukkan trend penurunan.

“Namun, hanya 14.7% warga emas di negara ini dikategorikan sebagai menua secara sejahtera merangkumi aspek sosial, kognitif, psikologi, dan fizikal,” katanya.

Pada masa sama, Dzulkefly berkata beban penyakit tidak berjangkit (NCD) meningkat ketara apabila 73% warga emas menghidap hipertensi, 76% kolesterol tinggi, dan 39% diabetes.

Katanya, sebanyak 68% mempunyai sekurang-kurangnya dua penyakit kronik, manakala 30% menghidap ketiga-tiga penyakit tersebut.

“Tinjauan itu juga mendapati 30.6% warga emas tidak aktif secara fizikal, menyumbang kepada 45% mengalami sarkopenia, manakala 60% lagi berisiko mengalami kerapuhan fizikal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.