Kos rawat penyakit buah pinggang kronik naik mendadak

Kos rawat penyakit buah pinggang kronik naik mendadak

Kos rawatan penyakit buah pinggang kronik tahap akhir meningkat kepada RM3.3 bilion setahun.

doctor doktor
Prevalens CKD turut mencatat peningkatan membimbangkan daripada 9% pada 2011 kepada 15.5% pada tahun lepas. (Gambar Envato Elements)
SHAH ALAM:
Kos rawatan penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap akhir mencatat peningkatan mendadak kepada RM3.3 bilion setahun ketika ini berbanding RM572 juta pada 2010 susulan, pertambahan kes saban tahun.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata situasi itu mencerminkan beban kewangan yang semakin besar kepada negara selain memberi kesan mendalam kepada kehidupan pesakit.

“Pada 2010, Malaysia membelanjakan RM572 juta untuk rawatan CKD tahap akhir namun hari ini jumlah itu melonjak kepada RM3.3 bilion setiap tahun.

“Beban ini bukan sahaja meragut kualiti hidup pesakit tetapi turut menjadi tekanan kewangan yang amat berat kepada negara kita,” katanya ketika berucap di sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam.

Beliau berkata prevalens CKD turut mencatat peningkatan membimbangkan daripada 9% pada 2011 kepada 15.5% pada tahun lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata secara purata 28 rakyat didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang setiap hari dan terpaksa memulakan rawatan dialisis untuk terus hidup.

“Lebih lima juta rakyat kini hidup dengan CKD namun hanya 5% sahaja yang menyedarinya. Jika kita gagal bertindak dengan berani hari ini, lebih 106,000 rakyat dijangka memerlukan rawatan dialisis menjelang 2040, satu angka yang amat membimbangkan,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulkefly berkata kerajaan tidak ketinggalan untuk menekankan kepentingan pencegahan bagi mengurangkan beban penyakit berkenaan.

Beliau berkata faktor utama kegagalan buah pinggang adalah komplikasi penyakit diabetes mellitus dan pesakit tidak boleh bergantung pada dialisis semata-mata untuk keluar daripada krisis terbabit tanpa menangani akarnya.

“Kerajaan telah menaikkan kadar Cukai Minuman Bergula atau Sugar-Sweetened Beverage (SSB) kepada 90 sen seliter bermula 1 Jan 2025 sebagai langkah mengekang punca utama penyakit itu.

“Hasil kutipan duti eksais minuman bergula pada 2025 mencecah RM54.9 juta dengan RM21 juta disalurkan kembali kepada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata dana berkenaan digunakan untuk membiayai rawatan perencat ‘Sodium-Glucose Cotransporter-2’ (SGLT2) yang mampu mengurangkan risiko komplikasi CKD.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.