
Menurutnya, pelaksanaan berkenaan selaras dengan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menterjemahkan mandat dan kerjasama antarabangsa kepada manfaat langsung di klinik serta hospital tempatan.
“Kami komited memastikan resolusi ini membawa perubahan hakiki kepada perkhidmatan di hospital dan klinik demi kelangsungan sistem kesihatan Madani yang lebih bermaruah,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara.
Dzulkefly mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri WHA79 dari 18 hingga 23 Mei 2026 dihadiri menteri-menteri kesihatan, ketua-ketua pengarah kesihatan, dan pakar-pakar global.
Mengulas lanjut, Dzulefly berkata kerjasama itu merangkumi hasil diplomasi strategik Malaysia bersama Sepanyol, Singapura, Bangladesh dan Vietnam, termasuk usaha adaptasi model pemindahan organ serta peluasan kerjasama dalam sektor pelancongan kesihatan.
Dalam pertemuan bersama Menteri Kesihatan Sepanyol, Mónica García Gómez, Malaysia menyatakan hasrat mengadaptasi model pengurusan pendermaan dan pemindahan organ negara itu yang diiktiraf sebagai piawaian emas dunia.
Langkah itu dijangka memperkukuh kecekapan operasi, tata kelola pengurusan serta strategi pendidikan dan kesedaran awam, selain membantu memendekkan tempoh menunggu bagi ribuan pesakit kegagalan organ kronik di Malaysia.
pertemuan dengan Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung pula menegaskan komitmen kedua-dua negara di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada serta bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang utama.
Ini termasuk penyelarasan polisi pelabelan makanan Nutri-Grade sebagai langkah bersepadu menangani beban Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di peringkat serantau dan mempercepatkan akses kepada teknologi perubatan inovatif melalui pelaksanaan Program Persandaran Kawal Selia Peranti Perubatan.
Selain itu, penerokaan peluasan sektor pelancongan kesihatan rentas sempadan, termasuk memudah cara rujukan pesakit dari Singapura ke fasiliti kesihatan swasta di Johor serta cadangan peluasan perlindungan insurans Medisave Singapura yang dijangka memberi limpahan ekonomi kepada wilayah selatan negara.
Dalam pertemuan dengan Menteri Negara (Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga) Bangladesh, D Mohammad Abdul Muhit pula, kedua-dua negara bersetuju memperkukuh hubungan diplomatik dan komersial kesihatan.
Ini termasuk peluasan sektor pelancongan kesihatan, dengan Malaysia merekodkan ketibaan lebih 71,000 pesakit dari Bangladesh pada 2025 yang menjana hasil sekitar RM49 juta, serta usaha menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan utama rawatan pakar di hospital swasta.
Kedua-dua negara turut memperkukuh kerjasama dalam kawalan penyakit berjangkit, kesihatan mental serta persediaan menghadapi negara menua menjelang 2030, selain memperluas kerjasama dalam industri farmaseutikal, peranti perubatan dan pendigitalan kesihatan.
Dalam pada itu, pertemuan dengan Timbalan Menteri Kesihatan Vietnam, Dr Vu Manh Ha, memberi tumpuan kepada pengukuhan keselamatan kesihatan serantau menerusi pengoperasian Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Kemunculan Baharu Asean.