MMA gesa elaun jururawat ditambah hingga RM500

MMA gesa elaun jururawat ditambah hingga RM500

Keputusan naikkan elaun jururawat yang sudah 17 tahun kekal RM100 perlu dibuat segera pada peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan, kata MMA.

nurse
Presiden MMA Dr R Thirunavukarasu berkata, elaun tambahan bagi jururawat sekitar RM100 sebulan pada masa ini tidak lagi cermin beban tugas dan tahap kepakaran mereka.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan membuat keputusan segera menaikkan elaun pasca asas kejururawatan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan, dengan mekanisme semakan berkala yang tersusun.

Presiden MMA Dr R Thirunavukarasu berkata, walaupun struktur imbuhan melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan, isu itu akhirnya memerlukan keputusan jelas pada peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan.

Sebarang penangguhan lanjut, katanya, hanya akan menghantar isyarat jelas bahawa kebajikan jururawat bukan keutamaan, walaupun mereka sering digelar sebagai wira barisan hadapan.

“Pada tahap ini, ia bukan lagi soal proses, kajian, atau masa dalam kitaran belanjawan. Ia mengenai sama ada satu keputusan akan dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, elaun tambahan sekitar RM100 sebulan pada masa ini tidak lagi mencerminkan beban tugas dan tahap kepakaran jururawat, khususnya dalam bidang kritikal seperti rawatan rapi, kecemasan, dialisis, onkologi dan penjagaan neonatal.

“Mereka tulang belakang hospital. Tanpa jururawat terlatih, katil ICU tidak dapat digunakan, pembedahan tidak dapat dijalankan dengan selamat, dan perkhidmatan penting seperti dialisis tidak dapat diteruskan,” katanya.

Semalam, Kesatuan Jururawat Malaya dilaporkan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyemak segera elaun latihan lanjutan jururawat yang masih kekal RM100 sejak 17 tahun lalu.

Presidennya, Saaidah Athman berkata, kadar elaun pasca asas yang diterima jururawat KKM yang memiliki kelayakan ketika ini dilihat tidak lagi setimpal dengan keadaan
kekurangan jururawat yang semakin kritikal, justeru penyelarasan semula perlu dilaksanakan dengan segera.

Dalam pada itu, Thirunavukarasu turut membangkitkan kebimbangan berhubung kadar kekosongan jururawat dalam sistem kesihatan awam yang kini menghampiri 18%, melibatkan lebih 14,700 jawatan belum diisi daripada 84,000 jawatan diluluskan setakat September 2025.

Katanya, situasi itu lebih meruncing dalam kalangan jururawat pasca asas kerana kehilangan tenaga berpengalaman bermakna kehilangan kepakaran yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina semula.

Beliau turut mengingatkan bahawa majoriti jururawat di Malaysia terdiri daripada wanita yang terpaksa mengimbangi tuntutan kerja syif mencabar dengan tanggungjawab keluarga, namun terus berkhidmat dengan dedikasi tinggi.

“Mereka telah berdiri bersama rakyat Malaysia dalam saat paling rapuh. Persoalannya kini adalah sama ada kepimpinan negara akan berdiri bersama mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.