
Menurutnya, lebih 14,000 pegawai perubatan dilantik ke jawatan tetap sejak 2023 dan sebagai kesinambungan, 4,500 lagi jawatan tetap untuk pegawai perubatan akan ditawarkan tahun ini.
Melalui pindaan Akta Perubatan 1971, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh ‘Parallel Pathway’ dan latihan kepakaran tempatan.
“Dengan sasaran melahirkan 13,000 doktor pakar menjelang 2030, kita mahu tenaga pakar kita dihargai dan kekal berkhidmat di tanah air sendiri.
“Ini adalah komitmen fiskal kerajaan demi memastikan doktor muda kita mempunyai masa depan yang stabil,” katanya dalam catatan Facebooknya.
Jelasnya, KKM turut menyasarkan pendigitalan sepenuhnya di semua fasiliti kesihatan awam sebelum 2029 dalam usaha menghapuskan budaya “berperang” dengan birokrasi dan timbunan kertas kerja membebankan.
“Kita mahu doktor kembali kepada tugas hakiki, iaitu merawat pesakit.
“Saya faham dan akui, beban kerja berat serta tekanan mental yang membelenggu petugas kesihatan kita adalah realiti yang memerlukan ‘pembedahan’ menyeluruh.”
Tegasnya, fokus KKM kini bukan lagi sekadar memberi penjelasan, tetapi mencari jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan.
“Kita sedang memperbaiki sistem ini agar lebih prihatin, mengangkat digniti dan memulihkan maruah setiap petugas kesihatan di negara ini,” katanya sambil menambah KKM sedang membina sebuah sistem mampan, manusiawi dan lestari untuk generasi akan datang.