Beri KKM autonomi menerusi suruhanjaya perkhidmatan kesihatan, gesa MMA

Beri KKM autonomi menerusi suruhanjaya perkhidmatan kesihatan, gesa MMA

Kecukupan sumber manusia penting untuk atasi waktu kerja berlebihan namun perjawatan serta peruntukan bukan sepenuhnya bawah KKM.

MMA seru kepada perancangan sumber manusia yang komprehensif untuk seluruh sektor kesihatan.
KUALA LUMPUR:
Suatu suruhanjaya perkhidmatan kesihatan perlu ditubuhkan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai autonomi dalam menguruskan dana kewangan dan keperluan sumber manusia, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden Dr R Thirunavukarasu berkata kecukupan sumber manusia penting dalam mengatasi beban waktu kerja berlebihan dalam kalangan doktor perubatan pelatih, namun penawaran perjawatan serta peruntukan belanjawan bukan sepenuhnya bawah tanggungjawab KMM.

“KKM ketika ini dilihat berperanan menguruskan masalah pesakit, namun dari sudut tenaga sumber manusia dan kewangan, agensi kerajaan lain yang menguruskan perkara berkenaan,” katanya, sambil menarik perhatian kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Sebab itu, kita perlu ada satu perancangan sumber manusia yang komprehensif untuk seluruh sektor kesihatan supaya pengagihan doktor dan petugas kesihatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” tambahnya, lapor Berita Harian.

Semalam, Berita RTM melaporkan KKM akan mengeluarkan pekeliling dan garis panduan baharu bagi memperkukuh sistem waktu bekerja fleksibel bagi pegawai perubatan siswazah (PPS).

Menteri Dzulkefly Ahmad mengumumkan perkara tersebut susulan dakwaan PPS bekerja sehingga 10 hingga 15 jam lebih masa tanpa bayaran, seperti yang dibangkitkan Malaysian Medics International (MMI).

Menurut MMI, PPS didakwa terpaksa bekerja antara 65 hingga 85 jam seminggu sehingga mencetuskan isu kepenatan melampau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.