
Komander Pintu Masuk KLIA AKPS, Mohd Safrie Zakaria, berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam mematahkan penyeludupan barangan sensitif yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan awam, selain membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara AKPS dan agensi teras termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata kes pertama melibatkan seorang lelaki warga China yang tiba dengan sebuah pesawat dari Bangladesh di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ditahan selepas pemeriksaan ke atas bagasinya menemukan sejumlah besar ubat suntikan berlabel Tirzide.
“Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi Ahad lepas, hasil pemeriksaan ke atas bagasi mendapati lelaki itu membawa sebanyak 3,300 unit ubat suntikan berlabel Tirzide yang disyaki tidak berdaftar, dianggarkan bernilai RM2.34 juta.
“Produk tersebut dipercayai mengandungi Tirzepatide, iaitu bahan racun terkawal di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata dalam kes kedua di Terminal 2 KLIA pada kira-kira 5.30 pagi semalam, seorang wanita warga China yang juga tiba dari Bangladesh ditahan bersama 8,840 unit ubat suntikan disyaki tidak berdaftar.
Ubat berjenama Tirzide dan Tirzep itu dipercayai mengandungi bahan sama, dengan nilai rampasan dianggarkan RM5.4 juta.
Safrie berkata kedua-dua kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Racun 1952, melibatkan kesalahan mengimport keluaran tidak berdaftar dan racun tanpa lesen sah.
Beliau berkata siasatan awal mendapati, ubat-ubatan itu dikeluarkan di Bangladesh dan kedua-dua suspek mendakwa ia untuk dijual di pasaran China.
“Ubat-ubatan yang dirampas termasuk antibiotik, ubat bagi penyakit kencing manis serta produk menguruskan badan yang tular di pasaran. Nilai ubat-ubatan itu dianggarkan antara RM300 hingga RM1,800 seunit bergantung kepada jenis, termasuk yang dijual dalam bentuk pen seperti insulin,” katanya.
Beliau berkata ubat-ubatan itu ditahan kerana ia dibawa dalam kuantiti besar dan bukannya dalam bagasi peribadi yang biasa ditemui dalam jumlah kecil