
Presiden MMA, Dr R Thirunavukarasu berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan lebih 4,000 serbuan di seluruh negara dari 2023 hingga 2025 dan merampas produk kesihatan tidak berdaftar bernilai lebih RM108 juta.
“Angka ini mencerminkan skala masalah itu, namun ia mungkin bukan tahap sebenar, terutama (jika) jualan dalam talian (juga diambil kira),” katanya kepada FMT.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 10% produk perubatan di negara membangun adalah palsu atau berkualiti rendah. Secara global, produk palsu merangkumi 10% daripada semua produk perubatan, meningkat kepada 30% di beberapa bahagian Asia dan hampir 50% di sesetengah wilayah Afrika.
Tahun lalu, pihak berkuasa Malaysia merampas lebih RM7 juta produk kesihatan haram bawah Operasi Pangea, iaitu operasi global tahunan diselaraskan Interpol.
Thirunavukarasu berkata, isu itu kini melangkaui suplemen, dengan terdapat laporan mengenai vaksin tidak berdaftar termasuk untuk tifoid, yang diseludup ke dalam negara dan digunakan di beberapa klinik.
“Apabila pesakit memasuki klinik, mereka percaya apa yang diberikan adalah berdaftar, disimpan dengan betul dan selamat. Kepercayaan itu tidak boleh dikompromi,” katanya.
Beliau berkata, pesakit yang tanpa sedar mengambil ubat tidak berdaftar mungkin berdepan pelbagai risiko, daripada rawatan tidak berkesan sehingga kepada kemudaratan yang serius.
Katanya, produk tersebut mungkin mengandungi bahan tidak diisytiharkan atau tercemar, sekali gus menyebabkan rawatan tidak berkesan serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan.
“Risiko lebih serius apabila melibatkan vaksin.
“Vaksin tidak berdaftar atau disimpan secara tidak betul mungkin tidak memberikan perlindungan langsung. Pesakit mungkin percaya mereka dilindungi tetapi sebenarnya tidak,” katanya.
Memperkukuh pertahanan teknologi
Pakar kebolehkesanan global dari International Tax Stamp Association, Francisco Mandiola, berkata sistem pengesahan serta penjejakan yang lebih kukuh diperlukan memandangkan ubat tiruan semakin banyak dijual secara dalam talian.
Katanya, sistem ‘phygital’ iaitu gabungan ciri keselamatan fizikal dan digital mampu menawarkan perlindungan keselamatan lebih kukuh dan berkesan.
“Sistem digital semata-mata boleh terdedah kepada penggodaman, manakala sistem fizikal sahaja semakin mudah ditiru. Apabila kedua-duanya digabungkan, tahap keselamatan meningkat dengan ketara,” katanya.
Mandiola berkata, gabungan ciri keselamatan fizikal dengan pangkalan data yang disulitkan membantu pengawal selia menguatkuasakan undang-undang sambil membolehkan pengguna mengesahkan ketulenan produk.
“Teknologi kini membolehkan jumlah data yang besar dianalisis dengan lebih cekap, memberikan maklumat lebih baik untuk menyokong penguatkuasaan,” katanya.
Brazil, Tanzania dan Kenya antara negara terawal menggunakan sistem pengesahan keselamatan untuk membanteras penjualan tembakau haram sebelum memperluaskannya kepada ubat-ubatan dan produk terkawal lain.
Sebaliknya, pihak berkuasa Malaysia masih bergantung kepada nombor pendaftaran, hologram dan kaedah pemeriksaan manual yang semakin mudah dipintas oleh pemalsu.
Mandiola berkata, beberapa negara juga memperkenalkan sistem penjejakan yang membolehkan pesakit mengesahkan dan melaporkan penemuan ubat palsu serta-merta melalui imbasan kod QR atau pengesahan SMS.
“Telefon bimbit moden mampu membaca kod QR yang kompleks dan mengesan ciri keselamatan yang jelas dan tersembunyi.
“Apabila disambungkan dengan sistem kerajaan, ia bukan sahaja memperkasakan pengguna, malah menyokong penguatkuasaan secara signifikan,” katanya.
Thirunavukarasu menggesa pengguna menyemak nombor pendaftaran MAL dan hanya membeli daripada farmasi berlesen atau fasiliti kesihatan berdaftar.
MAL ialah siri nombor dikeluarkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia dan tertera pada bungkusan semua ubat yang dijual di farmasi atau fasiliti kesihatan lain.
“Jika ragu-ragu, jangan teruskan. Setiap pesakit berhak mendapat ubat yang selamat, berdaftar dan dikendalikan dengan betul,” katanya.