
KKM dalam kenyataan berkata inisiatif itu bertujuan menstabilkan rantaian bekalan serta memastikan kelangsungan pengeluaran peranti perubatan kritikal di Malaysia susulan krisis tenaga global.
Katanya, krisis tenaga global memberi impak langsung terhadap ketersediaan peranti perubatan kritikal dan produk import berisiko tinggi di pasaran tempatan.
“Sebagai langkah proaktif, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah KKM telah memuktamadkan satu persetujuan strategik bersama pihak berkuasa China untuk meningkatkan pembekalan bahan mentah resin dan nafta bagi kegunaan industri tempatan,” menurut kenyataan itu.
KKM berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan strategik dipengerusikan ketua eksekutif MDA, yang juga pengerusi Global Harmonization Working Party (GHWP), bersama pengarah China (Shanghai) Pilot Free Trade Zone Administration dan timbalan datuk bandar Pudong New Area.
Menurutnya, bekalan tambahan itu dijangka menjadi pemangkin utama dalam menampung kekurangan bahan mentah semasa bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan negara.
“Bagaimanapun, KKM ingin menegaskan bahawa kedudukan bekalan peranti perubatan dalam negara kekal stabil dan terkawal menerusi pemantauan rapi serta langkah mitigasi yang dilaksanakan secara berterusan,” katanya.