KKM lulus RM1.8 juta perkukuh Hospital Sultanah Nora Ismail

KKM lulus RM1.8 juta perkukuh Hospital Sultanah Nora Ismail

Peruntukan melibatkan tambahan RM800,000 daripada jumlah asal dengan fokus kerja menaik taraf balai pelawat serta infrastruktur dan aset sedia ada.

Hospital Sultanah Nora Ismail kini beroperasi dengan kapasiti 610 katil bagi menampung keperluan lebih 500,000 penduduk di Batu Pahat. (Gambar Wikimedia Commons)
BATU PAHAT:
Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan khas RM1.8 juta bagi menaik taraf fasiliti di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di daerah ini.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata peruntukan itu melibatkan penambahan RM800,000 daripada jumlah asal, dengan fokus kepada kerja menaik taraf balai pelawat serta infrastruktur dan aset sedia ada di hospital berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan tersebut turut merangkumi perolehan aset perubatan dan bukan perubatan selain kerja menurap jalan di kawasan parkir hospital bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan pelawat.

“Fokus utama KKM adalah memastikan fasiliti kesihatan di peringkat akar umbi sentiasa ditambah baik seiring pembangunan semasa,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi ‘X’ hari ini selepas mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Batu Pahat, semalam.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM3.421 juta turut diperuntukkan bagi menaik taraf empat klinik kesihatan di daerah ini iaitu Klinik Kesihatan Parit Yaani, Klinik Kesihatan Seri Gading, Klinik Kesihatan Tongkang Pechah dan Klinik Kesihatan Parit Raja bagi memastikan agihan sumber kesihatan lebih saksama.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke empat klinik kesihatan berkenaan sejak Jumaat sebelum meneruskan lawatan ke HSNI semalam.

HSNI yang mempunyai sejarah sejak 1894, kini beroperasi dengan kapasiti 610 katil bagi menampung keperluan lebih 500,000 penduduk di kawasan Batu Pahat, sekali gus menjadikannya antara hospital dengan beban pesakit tertinggi di Johor selepas Johor Bahru.

Perkhidmatan ditawarkan di hospital berkenaan termasuk perkhidmatan kecemasan, pediatrik, anestesiologi, ortopedik serta psikiatri dan kesihatan mental.

Sepanjang lawatan itu, beliau turut meninjau beberapa fasiliti utama termasuk tapak cadangan unit rawatan harian, wad perubatan, Jabatan Kecemasan dan Jabatan Radiologi bagi menilai tahap kesiapsiagaan serta kualiti perkhidmatan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.