Kerajaan peruntuk RM28.8 juta untuk pembangunan industri halal

Kerajaan peruntuk RM28.8 juta untuk pembangunan industri halal

Timbalan Menteri Ekonomi Mohd Shahar Abdullah berkata ia bagi bantu penggiat halal bangunkan kapasiti perniagaan dan sumbang pembangunan industri halal negara.

Halal Logo
Timbalan Menteri Ekonomi Mohd Shahar Abdullah antara projek diluluskan adalah pembangunan sistem My e-Halal Jakim sebagai pemudah cara pensijilan halal dan program pengukuhan integriti halal.
PETALING JAYA:
Sebanyak RM28.8 juta diperuntukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk projek dan program pembangunan industri halal, kata Timbalan Menteri Ekonomi Mohd Shahar Abdullah.

Shahar berkata peruntukan tahun ini disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Halal Development Corporation.

Beliau berkata antara projek diluluskan adalah pembangunan sistem My e-Halal Jakim sebagai pemudah cara pensijilan halal dan program pengukuhan integriti halal.

“Melalui peruntukan serta sokongan pembiayaan yang diberikan, penggiat halal diharapkan dapat membangunkan kapasiti perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri halal negara,” katanya yang dipetik Bernama sebagai berkata di satu sidang kemuncak keusahawanan di Pahang.

Mengulas potensi Pahang memperkasa industri halal susulan kedudukan yang strategik dan kemudahan logistiknya, Shahar berharap pemain industri bersedia dan memanfaatkan infrastruktur logistik seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi tahun depan.

“Kemudahan sudah ada dan industri mesti dibangunkan secepat mungkin. Kementerian Ekonomi melihat Pahang sudah ada kekuatan namun kita perlu ada sinergi, jangan bekerja secara bersendirian.

“Selain itu, kita mesti guna peluang yang ada dan paling penting kena agresif. Jangan biarkan ruang yang ada ini tidak dimanfaatkan oleh anak-anak dan usahawan tempatan,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.