‘Boleh berdiri, tapi rasa macam tak ada kaki, kata Dr M

‘Boleh berdiri, tapi rasa macam tak ada kaki, kata Dr M

Bekas perdana menteri itu mengimbas kejadian terjatuh di kediamannya pada Januari yang menyebabkan tulang pinggulnya patah.

mahathir
Dr Mahathir Mohamad dikejarkan ke IJN selepas kejadian itu bagi rawatan pada 6 Jan untuk pemantauan sebelum dibenarkan pulang kira-kira sebulan kemudian.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan beliau kini masih belum dapat mengawal pergerakan kakinya selepas terjatuh di rumah tiga bulan lalu.

Menceritakan semula kejadian itu, tokoh berusia 100 tahun terbabit berkata beliau sedang melakukan rutin senaman pagi apabila secara tiba-tiba kaki kanannya hilang tenaga sebelum beliau terjatuh, menyebabkan kecederaan pada bahagian pinggul.

Beliau turut mengalami kecederaan ringan di kepala dan menanggung kesakitan yang teruk selepas insiden tersebut.

Dalam perkongsian di audio siar Dr M di Instagram, beliau berkata:

“Saya sedang buat senaman, berjalan. Tiba-tiba satu kaki saya, kaki kanan saya, hilang kuasa. Bila hilang kuasa, saya jatuh.

“Sekarang ini, selepas tiga bulan, saya sudah sembuh dan boleh berdiri, tetapi saya tidak boleh kawal kaki — macam tak ada kaki,” katanya yang turut mengalami rasa sakit di bahagin kepala.

Mahathir dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas kejadian itu bagi rawatan pada 6 Jan untuk pemantauan sebelum dibenarkan pulang kira-kira sebulan kemudian, selepas doktor berpuas hati dengan perkembangan pemulihan serta tindak balasnya terhadap rawatan dan fisioterapi.

Disebabkan faktor usia, beliau menjalani fisioterapi tanpa pembedahan.

Mahathir mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1989 dan 2007.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga beberapa kali dimasukkan ke IJN dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pada 13 Julai tahun lalu selepas mengalami keletihan ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-100 serta ulang tahun isterinya yang ke-99 di Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.