Puad kata Bersatu hilang tarikan lepas Muhyiddin-Dr M pecah

Puad kata Bersatu hilang tarikan lepas Muhyiddin-Dr M pecah

Ahli MKT Umno berkata Bersatu banyak bergantung kepada PAS dan kini berdepan masa depan lebih suram susulan konflik sesama mereka dalam PN.

muhyiddin yassin mahathir mohamad
Pengasas bersama Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dipecat parti pada Mei 2020 susulan enggan menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi menolak dakwaan Bersatu kekal penting kepada Perikatan Nasional (PN) dalam menarik minat pengundi.

Puad berkata, Bersatu sudah hilang daya tarikannya terutamanya selepas Presiden Muhyiddin Yassin berpecah dengan bekas pengerusi, yang juga bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir dan Muhyiddin merupakan pengasas bersama Bersatu pada 2016 untuk mencabar Umno. Mahathir dipecat parti itu pada Mei 2020 susulan enggan menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin di Dewan Rakyat dan memilih duduk di bangku pembangkang.

Muhyiddin menjadi perdana menteri selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020, menyaksikan Mahathir — yang ketika itu pengerusi Bersatu — meletak jawatan daripada jawatan tertinggi berkenaan membawa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Parti itu banyak bergantung pada PAS. Tetapi, dengan perselisihan yang makin meruncing antara Bersatu dan PAS menjadikan magnet pada Bersatu lemah dan tidak melekat kukuh,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau berkata, jika Bersatu benar-benar masih menjadi sebuah parti menarik, bekas timbalan presiden, Hamzah Zainudin dan beberapa pemimpin lain yang sehaluan dengannya tidak akan menentang kepimpinan parti itu.

Puad berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris yang berpandangan partinya dan PAS masih saling melengkapi kekuatan satu sama lain dan perlu meneruskan kerjasama.

Razali berkata, Bersatu mampu menarik pengundi atas pagar, golongan profesional, dan pengundi muda, yang mana ini akan melengkapi jentera pilihan raya PAS yang mantap serta pengalaman luas parti itu dalam kempen pilihan raya.

Kenyataan beliau menyusul ketika PAS sedang menilai semula hubungannya dengan Bersatu, dengan kemungkinan bertanding pada PRU akan datang tanpa melibatkan parti diketuai Muhyiddin berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.