
Sumber berkenaan yang turut dipecat Bersatu, berkata persiapan bagi pelancaran di Kuala Lumpur itu kini ‘hampir selesai’.
“Hamzah akan mengumumkan parti baharu pada bulan depan di mana sebahagian besar akar umbi Bersatu akan bersama dengan Hamzah,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia melaporkan pelancaran parti baharu tersebut akan diadakan pada Konvensyen Reset sebelum sidang Dewan Rakyat pada 22 Jun.
Hamzah dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu ketika kemuncak perebutan kuasa kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin. Bekas ketua pembangkang itu melancarkan gerakan Reset keesokannya.
Ahli Parlimen Larut itu sejak itu dikaitkan dengan rancangan mengambil alih sebuah parti baharu bersama beberapa lagi bekas pemimpin Bersatu dipecat, termasuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).
Antara sekutu rapat Hamzah yang masih berada dalam Bersatu ialah Naib Presiden Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsuddin, yang mana keduanya digantung keahlian.
Pada Isnin, bekas ketua menteri Melaka, Rahim Thamby Chik mendakwa lebih 200,000 ahli Bersatu, termasuk mereka yang telah keluar atau kekal dalam parti, menyokong gerakan Reset pimpinan Hamzah.