
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu yang ketika ini bersifat sukarela, adalah sebahagian daripada peralihan lebih luas ke arah pengurusan risiko secara proaktif bagi memastikan kesinambungan bekalan dalam keadaan ketidaktentuan global.
Katanya, pemain industri diberi tempoh hingga 15 April untuk memberikan maklum balas mengenai ketersediaan bahan farmaseutikal aktif dan bahan pembungkusan bagi membolehkan intervensi awal dilaksanakan sebelum kekurangan memberi kesan kepada fasiliti kesihatan.
“Pertama, sudah tentu pemantauan ramalan dan amaran awal. Kita telah beralih daripada pengurusan reaktif kepada sistem jangkaan risiko secara proaktif, dengan peraturan enam bulan itu (dilaksanakan) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Kami kini mewajibkan pemegang pendaftaran produk (PRH) melaporkan kemungkinan kekurangan atau penamatan bekalan ubat sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal. Jadi, perkara itu sangat penting,” katanya menurut Bernama.
Dzulkefly berkata, langkah itu sebahagian strategi Malaysia untuk mengurangkan kesan gangguan rantaian bekalan, yang mungkin berterusan walaupun selepas krisis Asia Barat berakhir.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengekalkan strategi memandang ke depan hingga suku pertama 2027 bagi memastikan daya tahan berterusan dalam logistik farmaseutikal negara.
“Di KKM, pandangan kami ialah tekanan sebenar rantaian bekalan lazimnya berlaku sebagai kesan susulan sesuatu krisis, yang berdasarkan simulasi kami boleh berlarutan sekurang-kurangnya enam bulan. Oleh itu, persediaan kami adalah berterusan dan tidak bergantung kepada sebarang perubahan geopolitik jangka pendek,” katanya.
Mengenai kesiapsiagaan stok, beliau berkata Malaysia sedang memperkukuh stok penampan melalui sistem berperingkat, dengan bekalan satu hingga tiga bulan di fasiliti kesihatan dan tambahan penampan dua bulan di peringkat konsesi.
Katanya, Malaysia sedang mempelbagaikan sumber import ubat-ubatan dan peranti perubatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada hanya satu pasaran, manakala Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah memperkenalkan mekanisme tindak balas pantas, termasuk laluan akses khas bagi peralatan kritikal ketika krisis.