Pesakit dialisis amang seksual remaja dijel 3 tahun

Pesakit dialisis amang seksual remaja dijel 3 tahun

Zulkefli Abdul Rani mengaku salah amang seksual mangsa yang juga pesakit di sebuah hospital di Kuala Pilah pada Jan lalu.

seremban court
Mahkamah Sesyen Seremban menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Zulkefli Abdul Rani yang mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan di sebuah hospital di Kuala Pilah, Januari lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga emas yang juga pesakit dialisis dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap pesakit remaja perempuan di sebuah hospital di Kuala Pilah, Januari lalu.

Hakim Surita Budin menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Zulkefli Abdul Rani, 60, yang hadir berkerusi roda dalam prosiding fakta kes dan hukuman, lapor Sinar Harian.

Zulkefli pada 16 April lalu membuat pengakuan bersalah selepas didakwa di mahkamah sama dan hakim menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman.

“Dengan mengambil kira tertuduh pesakit buah pinggang yang memerlukan menjalani dialisis dan mempunyai masalah kesihatan lain seperti patah kaki, mahkamah memberi pertimbangan dan tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dari tarikh dituduh,” kata Surita.

Mengikut pertuduhan, Zulkefli didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah hospital di Kuala Pilah kira-kira 4 petang, 30 Jan lalu.

Zulkefli didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan tertuduh sedang menjalani dialisis.

Katanya, tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membayar jaminan RM5,500 yang ditetapkan ke atasnya sebelum ini dan proses ke hospital untuk dialisis diuruskan oleh pihak penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.