
Menurutnya, siasatan mendapati tahap keselamatan radiasi di fasiliti berkenaan selamat dan terkawal.
Malah, siasatan dijalankan Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP) KKM menunjukkan tiada bukti teknikal menyokong dakwaan pendedahan radiasi di fasiliti itu yang menyebabkan kluster kanser dalam kalangan kakitangan.
Katanya, siasatan dilaksanakan bagi menilai tahap keselamatan radiasi serta pematuhan terhadap keperluan perundangan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.
“KKM ingin menegaskan keselamatan pesakit, pekerja kesihatan dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan.
“Pemantauan berkala serta audit pematuhan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua fasiliti mematuhi standard keselamatan radiasi ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan awam.
Tegasnya, KKM komited memastikan ketelusan maklumat dan akan terus menyalurkan maklumat tepat berdasarkan bukti teknikal.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang bekas jururadiografi di sebuah hospital pengajar kerajaan mendakwa menghidap limfoma Hodgkin akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di fasiliti berkenaan.
Wanita itu turut mendakwa selepas beberapa tahun hospital itu memasang mesin PET-CT, tiga kakitangan menghidap pelbagai jenis kanser, manakala empat lagi menghidap penyakit berkaitan tiroid.
Tujuh kakitangan itu dilaporkan bertugas di Jabatan Radiologi. PPUM bagaimanapun menafikan dakwaan terbabit.