PPUM nafi dakwaan fasiliti dedah pekerja radiasi berbahaya

PPUM nafi dakwaan fasiliti dedah pekerja radiasi berbahaya

PPUM berkata mesin PET-CT dikendalikan mengikut piawaian keselamatan ketat.

ppum
PPUM berkata rekod menunjukkan tahap pendedahan radiasi setiap kakitangan yang mengendalikan imbasan PET-CT jauh lebih rendah.
KUALA LUMPUR:
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menafikan dakwaan mengaitkan fasiliti imbasan PET-CT dengan risiko radiasi berbahaya kepada seorang bekas warga kerjanya sehingga menghidap kanser limfoma hodgkin.

PPUM berkata keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan warga kerja serta orang ramai sentiasa menjadi keutamaan, dengan menegaskan operasi imbasan PET-CT dijalankan mengikut piawaian keselamatan ketat .

Menurutnya, tahap pendedahan radiasi juga terkawal dan mematuhi standard ditetapkan seperti pekerja sinaran diwajibkan memakai dosimeter peribadi.

“Rekod rasmi menunjukkan kadar dedahan radiasi pekerja jauh lebih rendah dan berada di bawah had dos diwartakan.

“Pemeriksaan kesihatan berkala dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan sambil meminta semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi.

Terdahulu, FMT melaporkan seorang bekas jururadiografi di sebuah hospital pengajar kerajaan mendakwa dia menghidap sejenis kanser dikenali limfoma Hodgkin akibat pelanggaran SOP di fasiliti itu.

Wanita itu yang identitinya dirahsiakan sementara menunggu ulasan pihak hospital, mendakwa selepas beberapa tahun hospital tersebut memasang mesin PET-CT, tiga kakitangan menghidap pelbagai jenis kanser, manakala empat lagi menghidap penyakit berkaitan tiroid.

Semua tujuh kakitangan berkenaan bertugas di Jabatan Radiologi.

PPUM turut berkata pihaknya turut mematuhi sepenuhnya SOP program perlindungan sinaran, Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984, serta peraturan berkaitan perlindungan sinaran keselamatan asas serta pengurusan sisa radioaktif.

“Pengurusan sisa radioaktif juga dipantau rapi dan dijalankan dengan kelulusan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan, Kementerian Kesihatan pada Oktober 2025 mendapati tiada pelanggaran prosedur dan mereka mematuhi semua peraturan ditetapkan.

“Lawatan pemeriksaan lesen secara tahunan oleh pihak penguat kuasa turut dijalankan mengikut keperluan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.