
Wanita itu, yang identitinya dirahsiakan oleh FMT sementara menunggu ulasan pihak hospital, mendakwa selepas beberapa tahun hospital tersebut memasang mesin PET-CT, tiga kakitangan menghidap pelbagai jenis kanser, manakala empat lagi menghidap penyakit berkaitan tiroid.
Semua tujuh kakitangan berkenaan bertugas di Jabatan Radiologi.
“Ia menimbulkan kebimbangan mengenai pelanggaran SOP berkaitan keselamatan radiasi di unit itu,” kata wanita berkenaan, yang kini menghidap penyakit Hodgkin Tahap 4, pada sidang media.
Dia turut menekankan dakwaan jurang keselamatan, termasuk ketiadaan kawasan pengasingan yang sesuai bagi pesakit yang menjalani prosedur radioaktif.
Dia mendakwa pesakit ditempatkan di ruang menunggu bersama dan menggunakan kemudahan umum seperti lif, yang berisiko menyebabkan pendedahan tidak sengaja, selain tiada prosedur kuarantin yang jelas selepas suntikan radioaktif, sekali gus mewujudkan keadaan tidak selamat kepada kakitangan dan pesakit.
“Semua pesakit hanya dikumpulkan di satu sudut. Tiada pengasingan. Mereka menggunakan lif dan segala kemudahan. Pada asasnya semua orang terdedah,” katanya.
Dia turut mendakwa ketiadaan ahli radiofarmasi khusus pernah dibangkitkan kepada pihak berkaitan, namun ditolak oleh mereka yang menyelia keselamatan radiasi di jabatan tersebut.
Katanya, seorang kakitangan kemudian ditugaskan untuk memegang peranan itu selepas isu berkenaan diketengahkan.
Beliau berkata peranan tersebut amat penting dalam penyediaan dan pengendalian bahan radioaktif dan kekosongan jawatan itu menimbulkan kebimbangan terhadap protokol keselamatan.
Beliau berkata satu laporan telah dibuat kepada Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan di Kementerian Kesihatan.
Namun, wanita tersebut mendakwa terdapat ‘maklumat bercanggah’ dalam siasatan dan penemuan bahagian berkenaan.
Bekas jururadiografi itu menuntut agar satu siasatan bebas dijalankan berhubung perkara terbabit.
Dian juga menuntut audit menyeluruh terhadap peralatan radiologi di jabatan itu, termasuk mesin PET-CT, pengimbas CT, dan mesin sinar-X.
Mesin PET-CT menggabungkan imbasan tomografi pancaran positron (PET) dan tomografi berkomputer (CT) dalam satu peranti bagi menghasilkan imej 3D yang menunjukkan struktur dan aktiviti badan.
FMT telah menghubungi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mendapatkan ulasan.