Ras Adiba optimis AirAsia tambah baik polisi mesra OKU

Ras Adiba optimis AirAsia tambah baik polisi mesra OKU

Senator yang juga berstatus OKU itu ulas insiden keluarga kanak-kanak penghidap 'cerebral palsy' diarah turun dari pesawat disebabkan tempat duduk khas.

WOMEN IN MEDIA-GPRCFMY
Senator Ras Adiba Radzi, yang juga aktivis OKU, zahir harapan tinggi agar AirAsia dapat beri perkhidmatan yang lebih inklusif dan mesra OKU.
KUALA LUMPUR:
Senator Ras Adiba Radzi optimis AirAsia akan menambah baik polisi serta mengutamakan aspek keterangkuman demi kesejahteraan penumpang, susulan aduan keluarga seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) yang didakwa diarahkan turun dari salah satu penerbangannya baru-baru ini.

Presiden Persatuan OKU Sentral itu yakin syarikat penerbangan tambang murah itu sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan semua penumpang menikmati perjalanan yang selesa.

“Justeru harapan saya tinggi agar AirAsia dapat memberi perkhidmatan yang lebih inklusif dan mesra OKU,” katanya kepada FMT.

Ras Adiba yang juga pengarah bukan eksekutif AirAsia MOVE berkata, syarikat memberi perhatian serius terhadap setiap aduan, khususnya membabitkan golongan OKU.

Beliau dikenali sebagai tokoh yang lantang memperjuangkan hak serta kebajikan OKU dan komited memastikan golongan ini tidak dipinggirkan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Semalam dilaporkan Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti AirAsia X, S Saravanan memberi jaminan pihaknya akan menjalankan semakan dalaman menyeluruh bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dan aspek keselamatan melibatkan penggunaan peralatan bantuan khas bagi kanak-kanak OKU di dalam pesawat.

Syarikat penerbangan itu juga menggalakkan penumpang supaya mengemukakan dokumen yang mengesahkan kesesuaian peranti keselamatan khusus, termasuk yang digunakan oleh golongan OKU, bagi membantu kru darat dan kabin menguruskan kelulusan sebelum pelepasan.

Terdahulu, seorang wanita mendakwa keluarganya diarahkan turun daripada penerbangan AK1776 pada 26 Mei lepas disebabkan tempat duduk khas untuk anak perempuannya yang menghidap ‘quadriplegic cerebral palsy’.

Menurut wanita itu, anaknya pernah menaiki penerbangan menggunakan tempat duduk yang sama sebelum ini dan keluarganya telah mengisytiharkan dan mendapat kebenaran bagi tempat duduk khas itu, yang diluluskan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat, ketika daftar masuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.