
MKN berkata, mesyuarat semalam turut menyokong komitmen Angkatan Tentera Malaysia dalam memastikan setiap latihan mematuhi garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) serta ketetapan pihak berkuasa berkaitan, termasuk aspek keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.
Menurutnya, pelaksanaan latihan ketenteraan di kawasan diwartakan atau tidak diwartakan perlu melalui proses kelulusan serta pengesahan pelbagai pihak, termasuk Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang dipengerusikan menteri besar atau ketua menteri bersama agensi teknikal berkaitan.
Jelasnya, setiap permohonan latihan juga perlu dikemukakan dalam tempoh ditetapkan sebelum latihan dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan, pematuhan prosedur dan sensitiviti setempat diberi perhatian sebelum dimaklumkan kepada pemilik kawasan.
“Semua SOP berkaitan pelaksanaan latihan ketenteraan akan terus diperkemas dari semasa ke semasa. Selain itu, penilaian pasca-latihan akan dilaksanakan bagi meneliti semula keberkesanan pelaksanaan, mengesahkan sebarang impak yang berlaku serta memastikan peruntukan dan tanggungjawab berkaitan kerja pembaikan terhadap sebarang kerosakan ditetapkan dengan sewajarnya.
“Sidang MKN berpandangan kesiapsiagaan pertahanan bagi memastikan kedaulatan, keselamatan serta kepentingan strategik negara sentiasa terpelihara.
“Pada masa sama, aspek keseimbangan antara keperluan operasi pertahanan dan sensitiviti setempat perlu terus diberi perhatian melalui pendekatan libat urus dan penyelarasan berterusan bersama semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, bertitah tentera serta semua jabatan dan agensi berkaitan perlu mendapatkan perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum melaksanakan sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di negeri itu.
Istana Abdulaziz dalam kenyataan berkata, Tengku Hassanal mengambil berat aktiviti latihan ketenteraan yang hendak dilaksanakan terutama di kawasan kepulauan kerana bimbang akan menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan fauna.
Jelasnya, baginda tidak menolak aktiviti ketenteraan bagi meningkatkan kemahiran dan pengalaman pegawai serta anggota tentera, namun aktiviti itu perlu dilaksanakan dalam keadaan terkawal serta bertanggungjawab, selamat dan harmoni dengan alam sekitar serta semua pihak.