
Bagaimanapun, syarikat itu berkata, pihaknya akan menyemak semula polisinya bagi memastikan kejelasan yang lebih baik untuk penumpang dan kru operasi.
AirAsia mengakui, keluarga itu mungkin mempunyai jangkaan yang berlainan susulan pengalaman perjalanan mereka sebelum ini bersama syarikat penerbangan itu.
“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang akan sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami,” kata Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti AirAsia X, S Saravanan.
“Walaupun kami faham kekecewaan yang dialami keluarga itu, keputusan tersebut dibuat berdasarkan syarat keselamatan dan prosedur operasi yang terpakai ketika waktu perjalanan tersebut.”
Beliau berkata, AirAsia telah menghubungi penumpang tersebut untuk memberikan penjelasan dan bantuan, serta sedang menjalankan semakan menyeluruh berhubung pelaksanaan dan pemakluman syarat sedia ada berkaitan sistem tempat duduk keselamatan khas kanak-kanak.
Untuk perjalanan akan datang, syarikat penerbangan itu menggalakkan penumpang supaya mengemukakan dokumen yang mengesahkan kesesuaian peranti keselamatan khas untuk kanak-kanak, termasuk yang digunakan oleh golongan kurang upaya (OKU), bagi membantu kru darat dan kabin menguruskan kelulusan sebelum pelepasan.
Ini membolehkan kru darat dan kabin syarikat penerbangan itu membuat penilaian yang lebih baik serta memudahkan sebarang kelulusan yang diperlukan lebih awal.
Kenyataan itu menyusuli aduan seorang ibu di Facebook, yang mendakwa keluarganya diarahkan turun dari penerbangan AK1776 walaupun telah mengisytiharkan dan mendapat kebenaran bagi tempat duduk khas untuk anaknya yang diluluskan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat ketika daftar masuk.
Katanya, anak perempuannya yang menghidap ‘quadriplegic cerebral palsy’ pernah menaiki penerbangan menggunakan tempat duduk yang sama sebelum ini, dan beliau menggesa kejelasan lebih baik berhubung polisi AirAsia untuk penumpang OKU.
Wanita itu berkata, insiden itu menyebabkan tekanan emosi, memalukan dan meremukkan hati keluarga itu, ‘terutamanya bagi anak istimewa kami’.
Beliau berkata, selepas diiringi kembali ke pintu pelepasan terminal, keluarganya dimaklumkan bahawa urusan boleh dibuat untuk mereka menaiki penerbangan seterusnya ke Kuching.
“Bagaimanapun, kami juga diberitahu bahawa jika juruterbang yang bertugas (bagi penerbangan seterusnya) turut menolak kami (disebabkan penggunaan tempat duduk khas itu), keluarga kami sekali lagi boleh diarahkan turun dari pesawat. Pada ketika itu, kami dengan hormatnya menolak (tawaran itu).
“Kami rasa tidak adil untuk keluarga kami meneruskan perjalanan dalam keadaan yang tidak menentu seperti itu,” katanya.