
Pengarah Kastam Pahang Mohd Asri Seman berkata, rampasan pada 2 April itu hasil kerjasama beberapa agensi lain, termasuk Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Lembaga Pelabuhan Klang serta Sirim Malaysia turut terlibat dalam operasi tersebut, tambahnya.
“Hasil serbuan di CP-HOLD Yard North Port, Pelabuhan Klang mendapati lima kontena bersaiz 40 kaki mengandungi e-waste seberat 88,392.12kg dengan tiga kontena diimport dari Amerika Syarikat manakala masing-masing satu dari Panama dan Sepanyol,” katanya pada sidang media di Bentong hari ini, lapor Bernama.
Mohd Asri berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan taktik pengikraran tidak benar dengan mengisytiharkan barangan elektronik itu sebagai ‘Copper Concentrate’ dan ‘Acrylonitrile-Butadiene-Styrene (ABS) Plastic’ bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, e-waste berkenaan dipercayai dibawa masuk ke negara ini kerana Malaysia mempunyai kilang yang boleh mengitar semula bahan buangan itu bagi mendapatkan logam berharga seperti emas, tembaga dan aluminium.
Mohd Asri berkata, tiada tangkapan dibuat dalam operasi itu dan pihaknya masih menyiasat syarikat yang terlibat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.