
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Fisol Salleh berkata polis mula menempatkan anggota di stesen minyak khususnya di kawasan berhampiran sempadan negara.
“Polis melalui JKDNKA telah melaksanakan penugasan elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama elemen kontinjen di stesen-stesen minyak yang dikenal pasti sebagai lokasi hotspot serta berisiko tinggi berlakunya ketirisan bahan api bersubsidi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Fisol, penugasan dijalankan secara syif dengan kehadiran pegawai dan anggota PGA serta elemen pengoperasian kontinjen bagi memastikan kawalan berterusan dan berkesan di lokasi terlibat.
Beliau berkata, tumpuan diberikan kepada stesen minyak yang beroperasi antara 6.30 pagi hingga 11.30 malam, iaitu waktu puncak urus niaga yang dikenal pasti berpotensi tinggi berlaku penyelewengan.
Bagi stesen yang beroperasi 24 jam pula, katanya, pemantauan dan penugasan akan dijalankan secara berterusan.
Kabinet mengumumkan langkah menempatkan anggota polis di beberapa stesen minyak terpilih bagi memperketat pemantauan dan penguatkuasaan, berikutan peningkatan risiko ketirisan bahan api.
Ketegangan semakin memuncak di Selat Hormuz serta konflik lebih meluas di Timur Tengah menyebabkan harga minyak dunia melonjak melebihi USD100 setong, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga bahan api di peringkat global.
Malaysia masih mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.
Sementara itu, harga RON95 tanpa subsidi, RON97 dan diesel pula masih lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain.
Perbezaan harga itu telah mendorong berlakunya aktiviti penyeludupan merentasi sempadan Malaysia, terutamanya melalui jalan darat ke Thailand dan melalui laut ke negara jiran.