5 kenderaan dipercayai diubah suai dengan tangki tambahan dirampas

5 kenderaan dipercayai diubah suai dengan tangki tambahan dirampas

Polis rampas kenderaan dipercayai diubah suai bagi tujuan penyimpanan dan pengangkutan bahan api.

Mohd Shokri Abdullah
Ketua Polis Padang Besar, Shokri Abdullah, mengumumkan rampasan lima kenderaan dan penahanan tiga individu dalam Ops Tiris. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Polis merampas lima kenderaan dipercayai diubah suai dengan tangki tambahan, yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang bagi tujuan penyimpanan dan pengangkutan bahan api dalam kuantiti besar, dalam operasi di beberapa lokasi sekitar Padang Besar.

Ketua Polis Padang Besar, Shokri Abdullah, berkata rampasan melibatkan sebuah pikap dan empat kereta jenis sedan itu menerusi Pasukan Petugas Ops Tiris 4.0 IPD Padang Besar, bagi tempoh 22 April lepas hingga hari ini.

Turut ditahan tiga individu warga tempatan termasuk seorang wanita serta dua lelaki warga asing, berusia antara 30 hingga 55 tahun, bagi membantu siasatan.

“Tiga kenderaan tempatan dan dua kenderaan negara asing yang dirampas ini dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padang Besar untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM36,300,” menurut kenyataan.

Kes disiasat bawah Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan, iaitu kesalahan mengubah suai kenderaan bermotor hingga menjadikan ia tidak mematuhi spesifikasi asal atau tidak sah di sisi undang-undang.

Polis akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi serta sebarang bentuk jenayah rentas sempadan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.