Wanita ditahan selepas bayi 11 bulan lemas dalam baldi

Wanita ditahan selepas bayi 11 bulan lemas dalam baldi

Polis menahan seorang wanita 54 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

baby bayi
Ketua Polis Seremban Yatim Osman berkata punca kematian bayi perempuan itu masih dalam siasatan selepas bedah siasat dijalankan 1 pagi tadi.
PETALING JAYA:
Seorang wanita ditahan susulan kematian seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dipercayai akibat lemas dalam baldi di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, Seremban.

Ketua Polis Seremban, Yatim Osman, berkata mangsa diasuh neneknya bermula 9 pagi semalam, sementara ibu bapa bayinya keluar bekerja.

Kira-kira 2.30 petang, beliau berkata, mangsa dibiarkan tidur dalam buaian ketika neneknya memasak dan menjemur pakaian.

“Tidak lama selepas itu, neneknya menyedari mangsa tidak berada dalam buaian dan selepas mencari, mangsa didapati berada dalam sebuah baldi berisi sedikit air sabun di belakang rumah dalam keadaan kepala di bawah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, di mana mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang.

“Bedah siasat dijalankan pada 1 pagi tadi, namun punca kematian masih dalam siasatan atau ‘pending lab investigation’,” katanya sambil menambah seorang wanita 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Yatim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi pegawai penyiasat R Sinniah di talian 06-6033222 untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.